
SELATAN THAI: Pihak berkuasa Wilayah Songkhla meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan beberapa serangan berterusan kumpulan bersenjata di bandar Yala; Saiburi, Pattani; dan Sungai Golok, Narathiwat, beberapa hari lalu.
Langkah berwaspada itu turut ditumpukan di Daerah Hat Yai dan Daerah Songkhla yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia.
Gabenor Wilayah Songkhla, Chotinrin Koetsom telah memanggil mesyuarat tergempar pegawai 16 daerah di dalam wilayah berkenaan susulan pergolakan di tiga wilayah sempadan selatan (Deep South).
Beliau yang mengarahkan pihak berkuasa wilayah mengambil langkah berjaga-jaga di setiap kawasan, kerana empat daerah di Songkhla berada dalam zon merah.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan semua agensi kerajaan dan ketua daerah memantau kawasan berisiko serta bersedia untuk beroperasi bagi memberi kemudahan dan keselamatan kepada orang ramai.
“Semua pegawai tadbir dan pegawai pertahanan sukarela, khususnya di Sadao, Hat Yai, Mueang (bandar Songkhla) dan empat daerah zon merah iaitu Chana, Thepha, Saba Yoi dan Nathawi, diarah berjaga-jaga.
“Pihak pentadbiran wilayah bekerjasama dengan Tentera Wilayah Ke-4 dan Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, serta polis di semua wilayah sempadan selatan.
“Songkhla adalah bandar rawatan perubatan. Kami telah menyediakan kemudahan dan peralatan sekiranya orang yang cedera perlu dipindahkan ke hospital di Daerah Hat Yai untuk memastikan bantuan tepat pada masanya,” katanya.
Terdahulu, beliau menyertai mesyuarat tergempar secara sidang video dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul.
Pada 5 Mac lalu, dua individu tidak dikenali melempar ‘bom bola’ berhampiran laluan kereta api di bandar Yala, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang awam cedera.
Aksi nekad melempar bom ke arah orang ramai di persimpangan lampu isyarat kira-kira jam 7.15 malam itu adalah serangan bom pertama ketika umat Islam menjalani ibadah puasa tahun ini
Rentetan itu beberapa lagi serangan dilakukan, dengan yang terbaharu melibatkan serbuan oleh kira-kira 10 lelaki bersenjata, yang melempar bom dan bertempur dengan pasukan keselamatan Thai di Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok pada Sabtu lalu (8 Mac 2025).
Dalam kejadian yang turut melibatkan bom kereta itu, dua sukarelawan pasukan pertahanan daerah terbunuh, dua parah, manakala sembilan yang lain cedera ringan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Bhumitham Vechayachai, menjelaskan rundingan damai dengan pihak berkaitan di Selatan Thai, akan diteruskan walaupun keganasan semakin meningkat.
Sambil kesal dengan serangan yang berlaku di Yala dan Sungai Golok, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata rundingan damai itu hanya akan dilakukan dengan pihak yang tepat.
“Salah satu faktor penting untuk dipertimbangkan ialah sama ada pihak yang mengambil bahagian dalam rundingan itu boleh menjadi wakil sebenar kumpulan berkenaan.
“Ini kerana di sebalik rundingan diadakan, keganasan terus berlaku. Ini perlu untuk mengkaji sama ada kumpulan yang sedang bercakap dengan pihak kerajaan adalah benar-benar boleh mengawal keadaan,” tegas beliau.
Bhumitham menyatakan jika proses rundingan diteruskan, keganasan perlu dihentikan sementara untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Beliau juga menjelaskan kerajaan lebih mengutamakan pendekatan keamanan dan pembangunan berbanding penggunaan kekuatan tentera, selain menumpukan perhatian kepada mendengar suara rakyat di kawasan itu dan cuba mengelak penggunaan kekerasan yang boleh membawa kepada konflik berlanjutan.
Mengulas amaran Malaysia supaya rakyat mengelak daripada pergi ke Selatan Thai, beliau melihat perkara itu adalah biasa bagi kerajaan negara jiran untuk memaklumkan rakyat mereka sekiranya berlaku kekacauan.






Leave a Reply