Oleh Rohana Mah
SELATAN THAI: Wilayah Yala terus memperhebatkan promosi ‘Durian Premium’ bagi menarik lebih ramai pelancong selain meningkatkan pasaran, pendapatan dan mengembangkan ekonomi pekebun buah-buahan di wilayah itu.
Sehubungan itu, wilayah berkenaan akan menganjurkan edisi ke-18 ‘Pameran Buah-buahan dan Produk Tempatan Yala 2026″ mulai 4 hingga 6 Ogos depan untuk memperkenalkan ‘6 Varieti Durian Premium Yala’ serta produk tempatan berasaskan buah-buahan.
Gabenor Wilayah Yala, Kongsakul Chantarat berkata, pihaknya terus memacu dasar “Bandar Durian Yala” untuk mempromosikan wilayah itu sebagai hab buah-buahan berkualiti, terutama dengan meningkatkan kesedaran tentang ciri-ciri unik “Durian Premium Yala” produk berkualiti tinggi yang meningkatkan nilai pasaran, pendapatan, serta menyediakan kestabilan pendapatan buat petani tempatan.

Katanya, pihak pentadbiran wilayah itu mengetengahkan durian premium dan produk tempatan lain dari semua lapan daerah, bertujuan merangsang ekonomi dan merancakkan sektor pelancongan.
“Pameran Buah-buahan dan Produk Tempatan Yala diadakan secara berterusan sejak 2007. Tahun ini menandakan edisi ke-18 acara tersebut.
“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang potensi pertanian wilayah, menambah nilai produk pertanian, membina keyakinan terhadap kualiti dan keselamatan barangan pertanian, dan memelihara seni, budaya, tradisi, serta cara hidup penduduk tempatan.
“Acara ini akan menampilkan gerai-gerai yang menjual produk pertanian, buah-buahan bermusim, produk yang diproses, dan produk OTOP (one tambun one produk – satu mukim satu produk) dari semua lapan daerah di Wilayah Yala.
“Pada acara kali ini juga kami akan mempamerkan enam varieti durian premium Yala serta demonstrasi pembuatan jem durian tiga perisa daripada tiga varieti durian, dan pembungkusan percuma serta perkhidmatan penghantaran ke seluruh negara dengan kerjasama Thailand Post,” katanya pada sidang media hari ini.

Kongsakul menjelaskan antara acara kemuncak lain, termasuk pertandingan varieti durian tempatan yang akan menampilkan varieti seperti Mon Thong dan Chanee, pertandingan ayam asli yang cantik, dan pertandingan burung kicau sangkar “Battle of the Golden Voices.”
Antara acara lain ialah pertandingan menumbuk buah, pertandingan makanan berperisa menggunakan buah-buahan yang diproses, dan pertandingan kopi berasaskan buah-buahan.
Terdapat juga demonstrasi pencuci mulut tradisional, resipi kreatif berasaskan durian, pameran produk tempatan dari setiap daerah, dan persembahan kebudayaan dan muzik sepanjang acara tiga hari pameran diadakan.
Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai dan pelancong untuk menikmati kelazatan dan keindahan buah-buahan yang berkualiti, membeli produk pertanian dan makanan istimewa tempatan Yala pada pameran berkenaan.






Leave a Reply