Oleh Nurul Ashikin Alias
Sejak dari dahulu lagi status kemiskinan masyarakat kebiasaannya hanya dinilai melalui nilai wang. Ini memberi maksud bahawa individu yang mempunyai jumlah wang yang banyak menunjukkan bahawa individu tersebut tidak termasuk dalam golongan miskin. Manakala, semakin sedikit nilai wang yang dimiliki oleh seseorang individu maka individu tersebut adalah termasuk dalam golongan miskin.
Seperti semua sedia maklum, kemiskinan sering kali dikaitkan dengan kekurangan pendapatan atau ketidakmampuan seseorang individu untuk memenuhi keperluan asas kehidupan. Dalam kebanyakan negara, termasuk Malaysia, ukuran kemiskinan lazimnya ditentukan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang menggunakan nilai ringgit sebagai penanda aras utama. Pendekatan ini sememangnya penting kerana pendapatan merupakan faktor yang mempengaruhi keupayaan individu mendapatkan makanan, tempat tinggal, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Kaedah pengukuran mengguakan pengiraan PGK adalah mudah digunakan, bersifat kuantitatif dan membolehkan kerajaan mengenalpasti golongan sasaran yang memerlukan bantuan dengan lebih cepat. Melalui data pendapatan isi rumah, pihak berkuasa dan pembuat keputusan dapat menentukan kumpulan sasaran untuk pelbagai program bantuan seperti subsidi, bantuan tunai dan skim perlindungan sosial.
Namun begitu, persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah sama ada kemiskinan wajar dinilai hanya melalui nilai ringgit semata-mata. Hakikat dalam realiti kehidupan moden yang semakin kompleks, kemiskinan bukan sekadar isu kewangan tetapi turut melibatkan aspek sosial, pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan penghidupan masyarakat secara keseluruhan.
Namun, setelah berlalunya masa, kaedah penilaian status kemiskinan masyaraakt telah semakin berkembang dengan wujudnya Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (IKPD). Melalui indeks ini status kemiskinan sesebuah masyarakat dapat dinilai bukan hanya berdasarkan nilai kewangan sahaja.
Sebaliknya status kemiskinan ini turut dapat dinilai kepada aspek yang lebih terperinci seperti kemampuan akses kepada pendidikan yang layak, akses kepada kenderaan, keadaan kediaman yang sesuai untuk dihuni, akses kepada rawatan kesihatan yang lengkap, dan perlindungan jaringan sosial. Kaedah pengukuran ini bukan hanya melihat kepada aspek tersurat tetapi juga kini turut melibatkan aspek tersirat.
Dorongan yang menyebabkan berlaku perkembangan kaedah pengiraan status kemiskinan dalam masyarakat menggunakan kaedah IKPD kerana seseorang yang memperoleh pendapatan melebihi garis kemiskinan tidak semestinya menikmati kehidupan yang sejahtera.
Selain itu, terdapat juga individu yang mempunyai pendapatan rendah tetapi menikmati tahap kesejahteraan yang lebih baik berbanding golongan lain kerana memiliki jaringan sokongan sosial yang kukuh. Situasi ini menunjukkan bahawa kemiskinan tidak boleh dinilai secara mutlak berdasarkan jumlah wang yang diperoleh semata-mata. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi kualiti hidup juga perlu diberi perhatian agar gambaran sebenar tentang kemiskinan dapat diperoleh. Atas sebab itu, konsep kemiskinan pelbagai dimensi semakin mendapat tempat dalam perbincangan akademik dan dasar awam.
Malaysia sendiri telah mula mengiktiraf kepentingan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (IKPD). Kaedah pengukuran ini melihat kemiskinan dari pelbagai sudut seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Seseorang mungkin tidak tergolong dalam kategori miskin dari segi pendapatan, tetapi masih mengalami kekurangan dalam aspek pendidikan atau kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk meningkatkan taraf hidup. Sebagai contoh, seorang pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman mungkin mempunyai pendapatan keluarga yang mencukupi, namun akses kepada internet, kemudahan pendidikan berkualiti dan peluang pembangunan diri adalah terhad. Kekurangan ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap masa depan mereka walaupun tidak tercermin dalam angka pendapatan isi rumah.
Pendekatan ini dapat membantu pembuat dasar dan pembuat keputusan memahami bentuk-bentuk kekurangan yang dialami oleh masyarakat dengan lebih tepat. Melalui data yang lebih komprehensif, program intervensi dapat dirancang secara lebih bersasar dan berkesan. Sebagai contoh, sesebuah komuniti mungkin tidak memerlukan bantuan kewangan secara langsung tetapi memerlukan kemudahan pendidikan, latihan kemahiran atau akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik bagi mengeluarkan mereka dari status golongan miskin dari dimensi pendidikan dan akses terhadap kesihatan.
Kesimpulannya, nilai ringgit sememangnya merupakan petunjuk asas yang penting dalam menilai status kemiskinan masyarakat. Namun begitu, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya kaedah pengukuran yang digunakan. Hal ini kerana, insiden kemiskinan adalah merupakan satu fenomena yang kompleks dan melibatkan pelbagai dimensi kehidupan manusia.
Maka, pendekatan yang hanya tertumpu kepada nilai jumlah pendapatan adalah merupakan satu kaedah berisiko mengabaikan pelbagai bentuk kekurangan yang memberi kesan kepada kesejahteraan individu dan masyarakat. Oleh itu, penilaian kemiskinan yang lebih holistik dan menyeluruh perlu diberi keutamaan agar usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta benar-benar meningkatkan kualiti hidup rakyat secara mampan.

Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di (n.ashikin@um.edu.my)





Leave a Reply