SELATAN THAI: Ketenteraman umat Islam di wilayah selatan selatan (Deep South) menjalani ibadah puasa pada hari keempat Ramadan, tercemar apabila dua individu tidak dikenali melempar ‘bom bola’ berhampiran laluan kereta api di bandar Yala, malam tadi.

Aksi nekad melempar bom ke arah orang ramai di persimpangan lampu isyarat oleh dua individu terbabit yang dilakukan kira-kira jam 7.15 malam dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Serangan itu menyebabkan enam orang awam yang menunggang motosikal berhampiran tempat kejadian cedera.

Mereka ialah:

  1. Zulkeefli Nawe, 44 tahun;
  2. Fatin Hawan, 37;
  3. Ma’ila Tetae, 25;
  4. Maroning Jeawae, 42;.
  5. Robiyah Kabe, 43; dan.
  6. Kolieya Binmaming, 36.

Insiden itu adalah yang pertama di Deep South pada hari kedua Ramadan tahun ini, tatkala beberapa pertubuhan dan pihak berkuasa berganding bahu bagi mewujudkan ‘Ramadan menuju keamanan’.

‘Deep South’ merujuk kepada tiga wilayah ‘panas’ di Selatan Thai iaitu Pattani; Yala; dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee. Di kawasan ini kerap berlaku serangan oleh kumpulan bersenjata.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Bandar Yala, Kolonel Chatchai Sakdee berkata pihaknya menerima laporan kejadian pengeboman berhampiran laluan kereta api di Jalan Siroros, Mukim Sateng, Daerah Mueang.

Katanya, siasatan mendapati individu tidak bertanggungjawab itu menggunakan alat letupan buatan sendiri (IED) yang dikenali sebagai ‘bom bola’.

“Pelaku menggunakan dua bom, tetapi hanya satu sahaja meletup. Kekuatan letupan itu menyebabkan lubang kecil di permukaan jalan,” katanya.

Walaupun hanya sebutir bom sahaja meletup, ia mencederakan enam orang awam yang melalui kawasan itu. Mereka menerima rawatan segera di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Yala.

Berdasarkan rakaman CCTV itu, sebelum kejadian, terdapat sebuah lori tayar 10 dan sebuah motosikal penduduk kampung yang berhenti di lampu merah berhampiran persimpangan kereta api.

Dua pelaku dilihat berlari ke tengah jalan sebelum melemparkan bom. Keadaan itu menyebabkan orang awam yang menunggang motosikal dan berhenti di lampu merah dengan pantas memecut melarikan diri dari tempat kejadian dalam keadaan kelam-kabut. Bagaimanapun, masih terdapat enam daripada mereka yang cedera.

CCTV itu turut merakam tingkah laku seorang lelaki mencurigakan yang melarikan diri dari tempat kejadian dan berhenti ke tepi jalan hanya beberapa saat sebelum letupan.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Natthakorn Kanchanaphon, telah mengarahkan semua unit, pusat pemeriksaan, dan pangkalan operasi di kawasan itu untuk meningkatkan kawalan dan keselamatan diri.

Ini bagi memastikan kedudukan mereka, terutama anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab mereka, bersedia untuk bertindak balas terhadap semua situasi dan tidak cuai.

Pada Ramadan tahun lalu, beberapa siri serangan bom dilaporkan berlaku di Selatan Thai.

Kejadian terbesar berlaku pada 22 Mac 2024 iaitu hari ke sepuluh umat Islam berpuasa di Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla. Serangan itu, termasuk pengeboman dan pembakaran khianat terhadap harta kerajaan serta swasta, menyebabkan seorang orang awam terbunuh.

Sementara itu, dalam dua kejadian berasingan di Wilayah Pattani awal pagi semalam, dua kamera pengawasan yang dipasang di dalam kampung dibakar pihak tidak dikenali di Daerah Saiburi dan Panare.

Kejadian pertama berlaku d Kampung Bangomulong, Mukim Trabon, Saiburi apabila pelaku membakar tayar pada tiang elektrik menyebabkan satu kamera CCTV rosak.

Kamera pengawasan dibakar di Wilayah Pattani, awal pagi semalam (5 Mac 2025).

Dalam kejadian kedua, pelaku juga menggunakan tayar motosikal untuk membakar CCTV yang dipasang pada tiang elektrik di hadapan Klinik Daerah Trae Hak di Ban Kha Khae, Panare.

Pihak berkuasa percaya perbuatan itu dilakukan kumpulan bersenjata.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading