
NARATHIWAT (Selatan Thai): Hari ini (12 September 2024) menjadi salah satu lagi hari yang penting buat keluarga dan mangsa ‘Peristiwa Berdarah Tak Bai 2004’.
Pada 23 Ogos 2024 lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat memutuskan wujud unsur jenayah dilakukan pegawai Kerajaan Thailand dalam tragedi yang menyebabkan 78 orang mati akibat sesak nafas ketika dalam tahanan dan lapan lagi maut ditembak ketika cuba menyuraikan tunjuk perasaan.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan tujuh daripada sembilan pegawai kanan kerajaan – termasuk panglima tentera, yang disaman oleh mangsa dan keluarga mereka – membela diri terhadap pertuduhan jenayah dan melanggar hak asasi manusia.
Mahkamah memutuskan terdapat alasan undang-undang untuk meneruskan tuntutan terhadap ketujuh-tujuh pegawai terbabit di bawah kesalahan membunuh, cubaan membunuh dan penahanan secara haram.
Semua mereka diperintah memberi keterangan di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 12 September (hari ini), tanpa dikeluarkan waran tangkap.
Bagaimanapun, semua mereka diberi amaran, waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya tidak hadir perbicaraan sebanyak tiga kali.
Perlu diingat bahawa pada 25 Oktober depan, akan genaplah 20 tahun peristiwa berdarah itu berlaku.
Mengikut undang-undang Thailand, kes yang tidak diselesaikan dalam tempoh 20 tahun tidak boleh lagi dibawa ke mahkamah.
Yang menjadi persoalan ialah apakah hari ini semua tujuh defendan terbabit akan hadir membela diri?
Memetik kata-kata Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh kepada Apa Khabar TV sebelum ini:
“Masa sudah semakin singkat untuk mencapai tempoh 20 tahun. Ada beberapa kemungkinan dalam kes ini. Antaranya, mereka hadir di mahkamah untuk membela diri.
“Mereka boleh melewat-lewatkan kehadiran di mahkamah dengan memberi alasan, termasuk kesihatan (yang boleh diterima mahkamah), sehingga mencapai tarikh 25 Oktober.
“Mereka tidak hadir langsung tanpa alasan atau alasan mereka ditolak oleh mahkamah. Dalam kes ini, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap.
“Dalam kes waran tangkap ini pula… jika pihak polis gagal menangkap mereka sehingga 25 Oktober depan, maka kes itu juga sudah tidak lagi boleh dibawa ke mahkamah.”
Antara yang diperintah memberi keterangan ialah bekas Gabenor Wilayah Narathiwat, Wichom Thongsong, 78 tahun; dan Ahli Parlimen (MP) Thailand, Jeneral Pisan Wattanawongkiri, 74.
Yang lain ialah:
- Defendan Ketiga – Jeneral Chalermchai Wirunphet (ketika kejadian adalah Panglima Divisyen ke-5 Infantri);
- Defendan Keempat – Pol. Jen. Wongkot Maneerin (ketika kejadian adalah bekas Pengarah Pusat Operasi Hadapan Polis Thailand);
- Defendan Kelima – Pol. Lt. Jen. Manoch Kraiwong (ketika kejadian adalah Komander Polis Wilayah 9)
- Defendan Keenam – Pol. Maj. Jen. Sak Sommai Phutthakul (ketika kejadian adalah Superintendan Balai Polis Daerah Tak Bai; dan
- Defendan Kelapan – Siva Saengmani (ketika kejadian adalah Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Keamanan Wilayah Sempadan Selatan dan bekas Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri).
Berhubung dengan Jeneral Pisan Wattanawongkiri yang juga MP Parti Pheu Thai yang memerintah sekarang, Ahli Parlimen dari Parti Prachachon, Romadon Panjor, bimbang defendan itu menggunakan keistimewaannya sebagai MP untuk menolak kehadiran di mahkamah kerana Parlimen sedang bersidang sekarang.
Antara keistimewaan dalam Perlembagaan Thailand buat MP mereka ialah:
“Sepanjang persidangan, tiada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara boleh ditangkap, ditahan atau dipanggil untuk siasatan sebagai suspek dalam kes jenayah, melainkan mendapat kebenaran daripada Dewan yang dianggotainya”.
Untuk rekod, Jeneral Pisan Wattanawongkiri, 74, adalah defenda pertama. Ketika tragedi itu, dia adalah Panglima Wilayah Tentera Ke-4 yang bertanggungjawab ke atas wilayah Selatan Thai.
Peristiwa Berdarah Tak Bai 2004 berlaku ketika Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri Thailand ke-23. Kini, anak Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, pula menjadi Perdana Menteri Thailand.







Leave a Reply