USAHA dilakukan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendamaikan dua pihak yang bertelagah – Thailand dan Kemboja – bertepatan dengan kehendak dan suruhan agama Islam.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat (MAIWN), Abdul Aziz Che Mamat yang memuji usaha itu berkata, menurut Islam jika beberapa pihak yang bergaduh, maka perlu ada orang yang mendamaikan mereka.

“Bagi saya yang juga sebagai orang tempatan di Thailand, peranan Perdana Menteri Malaysia itu adalah cukup baik dan bertepatan dengan suruhan agama.

“Dalam Islam jika ada dua pihak yang bergaduh, maka kita kena menjadi orang tengah untuk mendamaikan mereka.

“Apa lagi Malaysia sekarang ini adalah Pengerusi Asean dan Thailand serta Kemboja juga adalah anggota pertubuhan itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga meminta umat Islam supaya meneruskan solat hajat memohon supaya keamanan terus berkekalan sama ada di sempadan Thailand dan Kemboja atau di wilayah Selatan Thai.

Sebagai pemimpin agama di Selatan Thai, Abdul Aziz secara umumnya bimbang jika pergaduhan atau peperangan itu menyebabkan kehilangan jiwa yang banyak, kerana terdapat orang Islam dalam kalangan tentera Thai.

“Oleh itu, adalah wajar kita meneruskan doa dan solat hajat… ada beberapa masjid di wilayah Narathiwat yang telah mengadakan solat hajat memohon keselamatan anggota tentera kita,” katanya.

Beliau juga berharap umat Islam menyemak terlebih dahulu maklumat yang disebarkan di media sosial supaya tidak tertipu dengan dakyah pihak tertentu.

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta susulan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya pada Isnin lalu.

Anwar mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Kompleks Seri Perdana.

Pada masa sama, Abdul Aziz juga berharap Anwar meningkatkan usaha menyelesaikan konflik berpanjangan di Selatan Thai yang kini menyebabkan ekonomi tempatan terjejas.

“Saya harap Anwar dapat menguatkan usaha mempercepatkan proses damai di Selatan Thai. Keadaan ekonomi di sini sekarang semakin teruk dan menjejaskan kehidupan penduduk,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir dialog damai antara Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) dan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG) diadakan adalah pada Mei tahun lalu.

Sebelum ini, Deep South Watch (DSW) – sebuah organisasi yang memantau dan memahami konflik Selatan Thai – mendedahkan keganasan sepanjang April lalu (1 hingga 30 April) adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Peningkatan keganasan itu turut dkaitkan dengan kegagalan menyambung semula Proses Dialog Damai antara kerajaan dan BRN.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading