DEEP South Watch (DSW) – sebuah organisasi yang memantau dan memahami konflik Selatan Thai – mendedahkan keganasan sepanjang April lalu (1 hingga 30 April) adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Peningkatan keganasan itu turut dkaitkan dengan kegagalan menyambung semula Proses Dialog Damai antara kerajaan dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), setelah Paetongtarn Shinawatra menjadi Perdana Menteri ke-31 Thailand pada 16 August 2024.

Kali terakhir Proses Dialog Damai diadakan adalah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Kali Ke-10 Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai antara Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG) dan BRN pada 19 Mei hingga 21 Mei 2024 di Kuala Lumpur.

Pengarah Deep South Watch, Prof Madya Dr Srisombhop Chitphiromsri.

Pengarah DSW, Prof Madya Dr Srisombhop Chitphiromsri berkata, sepanjang April lalu terdapat 57 kejadian keganasan, dengan 18 orang terbunuh dan 50 orang cedera, menjadikan keseluruhannya seramai 68 mangsa.

Katanya, majoriti mangsa yang terbunuh ialah golongan sasaran mudah, seperti kanak-kanak, wanita dan orang awam iaitu seramai 11 orang, manakala selebihnya adalah anggota pasukan keselamatan.

Menurutnya, 10 daripada mangsa berusia di bawah 18 tahun; 18 hingga 59 tahun (40 mangsa); dan lima mangsa melibatkan individu berusia 60 tahun ke atas, manakala umur 13 lagi mangsa tidak diketahui.

“Daripada keseluruhan jumlah itu, 22 mangsa, termasuk enam terbunuh beragama Buddha; 38 mangsa (11 maut) adalah umat Islam; dan agama dua mangsa lagi tidak diketahui.

“Bagi jenis insiden pula, 23 kes melibatkan tembakan, manakala 12 kes membabitkan pengeboman. Sepanjang April lalu juga, 11 tangkapan dilakukan; lapan kes serangan fizikal direkodkan dan tiga lagi melibatkan kes-kes lain.

“Daripada keseluruhan kes itu juga, 27 kes dikaitkan dengan gerakan pemisahan, 23 kes tidak jelas dan tujuh kes berkaitan jenayah umum,” katanya mendedahkan statistik terbaharu DSW sambil menegaskan kadar insiden tahun ini meningkat 31.1 peratus berbanding 2023.

Statistik itu juga mendedahkan, sejak 4 Januari 2004 hingga kini, sebanyak 23,140 insiden yang mengakibatkan 7,723 kematian dan 14,567 kecederaan, direkodkan.

Dalam tempoh lima tahun pertama, jumlah insiden memuncak daripada 1,472 pada 2004 kepada 2,084 (2005); 1,996 (2006); dan memuncak kepada 2,396 (2007).

Sejak kejadian rompakan senjata pada 2004 yang menjadi permulaan konflik keganasan paling tinggi berlaku antara tahun 2004 dan 2007 dengan purata lebih 2,000 kejadian setahun.

Insiden itu bagaimanapun menurun apabila rundingan damai dimulakan pada 2013 di bawah kerajaan Yingluck Shinawatra bersama BRN.

Keganasan juga menurun dengan ketara antara tahun 2015 hingga 2023, susulan rundingan damai yang berterusan kedua-dua pihak, khususnya ketika Thailand dipimpin Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Settha Thavisin.

Pada 2015, ketika perbincangan dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani) bermula, jumlah kejadian turun kepada 942 kes, dan pada 2016 terdapat 815 insiden; 2017 (580 kes); 2018 (544 kes); dan kemudian pada tahun 2019 (ketika Covid-19) perbincangan dengan BRN bermula dan jumlah insiden berkurangan kepada 412 kes.

Statistik itu bagaimanapun, menunjukkan pada 2021, insiden meningkat semula kepada 481 kes, disusuli 488 kes pada 2022; 2023 (481 kes); dan pada 2024 – setelah Paethongtarn membentuk kerajaan baharu – insiden meningkat kepada 632 kes, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding Ogos 2023. Namun, sejak tahun lalu, keadaan kembali meruncing.

Sejak 1 Januari 2025 hingga akhir April lalu sahaja, jumlah kejadian keganasan telah mencecah 632 kes.

Mengulas lanjut, Dr Srisompob berkata, jika rundingan tergendala atau ruang politik tertutup, keganasan pasti akan kembali meletus dan mengorbankan lebih ramai orang awam.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa sepanjang sembilan bulan rundingan itu tergantung, keganasan telah meningkat sebanyak 31.1 peratus.

“Memang tidak dinafikan perkara ini berpunca daripada rundingan damai yang terhenti, menyebabkan lebih banyak keganasan berlaku.

“Walaupun insiden itu dilihat melampaui batas, BRN mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa mereka tidak akan melakukan keganasan terhadap orang awam. Keadaan itu mencerminkan bahawa BRN mempunyai idea yang pelbagai dengan keutamaan adalah mematuhi prinsip hak asasi manusia,” jelas beliau lagi.

Menurutnya, kerajaan Thai belum menubuhkan jawatankuasa dialog damai dengan alasan mahu mengadakan rundingan dengan pihak sebenar yang boleh mengarahkan penggunaan senjata api dan bom dihentikan.

“Berita terkini yang diterima ialah kerajaan telah menghubungi fasilitator Malaysia untuk mencari individu tertentu yang mempunyai peranan penting… mungkin hendak tukar ketua perunding BRN.

“Tapi ianya tidak mungkin kerana perunding BRN yang ada sekarang dianggap adalah pasukan sebenar. Apabila kerajaan mahu mendapatkan lebih ramai pemimpin mungkin boleh dalam keadaan semasa,” katanya.

Dr Srisombhop juga menjelaskan daripada tinjauan pendapat umum DSW berkaitan proses damai yang dilakukan tujuh kali, orang ramai menyokong rundingan berkenaan.

“Tinjauan keamanan kali terakhir pada 2024 menunjukkan lebih 70 peratus menyokong. Orang ramai menuntut supaya keganasan dihentikan bagi menyelesaikan masalah.

“Sehubungan itu, kita mesti mencari penyelesaian bersama. Mari kita minta semua pihak kembali dan berbincang bagi mengurangkan keganasan. Kerajaan dan pergerakan mesti mencari jalan keluar, mengurangkan keganasan, dan mewujudkan keamanan untuk rakyat,” katanya.

Untuk rekod, DSW berpangkalan di Selatan Thai, khususnya di Universiti Prince of Songkla (Kampus Pattani). Badan pemantau itu menyediakan ruang kepada pihak berbeza yang terlibat dalam konflik untuk berbincang dan mencari penyelesaian secara aman.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading