PIHAK berkuasa Thailand menahan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam rancangan mengebom beberapa lokasi di tiga pusat pelancongan terkenal – Phuket, Krabi dan Pang Nga – beberapa hari lalu.

Suspek ditahan ketika menaiki sebuah van untuk melarikan diri dari Wilayah Yala, semalam (27 Jun 2025), kata Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4).

Penahanan itu menjadikan jumlah suspek yang disyaki membawa, meletakkan dan menanam bom di beberapa tempat di tiga pusat peranginan itu, kepada enam individu.

Antara peranti yang dirampas daripada enam suspek.

Menurut ISOC 4, pihak berkuasa telah memantau pergerakan suspek di Yaha, Yala dengan teliti dan membuat sekatan jalan raya sebelum menahannya.

“Dia kemudian dibawa ke Markas Pasukan Khas Batalion Askar Renjer ke-43 untuk psiasatan lanjut bagi mengenal pasti kaitannya dengan kumpulan lain yang terlibat.

“Penahanan ini dianggap sebagai kemajuan penting dalam usaha menyelesaikan kes serta mencegah keadaan daripada menjadi lebih buruk, dan mengurangkan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” kata ISOC dalam satu kenyataan.

ISOC 4 berkata, penangkapan itu mencerminkan usaha bersungguh-sungguh dan kerjasama semua pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh berhati-hati dalam kerangka undang-undang, serta menitikberatkan prinsip hak asasi manusia.

Kelmarin (26 Jun 2025), tiga suspek berusia 21, 23 dan 24 tahun ditahan dalam operasi dan serbuan di empat rumah di Kampung Mueang Teh, Daerah Mae Lan, Pattani.

Nama ketiga-tiga suspek muncul setelah pihak berkuasa menahan dua individu yang menaiki sebuah kereta dalam satu sekatan di Wilayah Phang Nga. Polis turut merampas bahan letupan daripada kedua-duanya.

Sementara itu, hasil siasatan pihak berkuasa menemukan lima objek dipercayai bom jangka iaitu dua di Pantai Patong dan masing-masing satu di Pantai Surin; Laem Phromthep; serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket di Wilayah Phuket.

Lima bom buatan sendiri turut ditemukan di Wilayah Krabi dan satu di Wilayah Phang Nga.

Pihak berkuasa juga melakukan pemeriksaan di Wilayah Trang setelah suspek ‘hilang’ selama 30 minit di Daerah Sikao, Trang.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading