TIGA lagi individu ditahan dalam operasi khas, susulan penangkapan dua lelaki di Wilayah Phang Nga setelah disyaki terlibat dalam rancangan untuk melakukan pengeboman di tiga pusat peranginan utama di Selatan Thai, termasuk Phuket.

Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Lt Jeneral Paisan Nusang ketika mengesahkan penangkapan itu berkata, operasi khas dilakukan di empat lokasi di Wilayah Pattani untuk mengesan rangkaian yang terbabit dalam rancangan itu.

“Penangkapan dua suspek pada 24 Jun lalu membawa kepada soal siasat dan pemeriksaan bukti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Anggota Unit Pemusnah Bom menyiasat objek mencurigakan yang diletakkan di hadapan pintu pagar kediaman rasmi gabenor Wilayah Phang Nga, malam tadi (26 Jun 2025).

“Siasatan mengesahkan bahawa mereka terlibat dalam rangkaian yang bergerak aktif di kawasan sempadan selatan (Deep South),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC 4).

Selasa lalu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Phang Nga memintas sebuah kereta berhampiran Dewan Bandaraya Phang Nga dan menahan dua lelaki yang berasal dari Yarang, Pattani. Pemeriksaan polis menemukan bahan letupan buatan sendiri.

Paisan berkata, susulan penangkapan dua lelaki terbabit sepasukan anggota dari Polis Wilayah Ke-9 bersama pegawai ISOC 4 telah mengembangkan siasatan dan menyerbu empat lokasi di Wilayah Pattani, semalam (26 Jun 2025).

Katanya, operasi dan serbuan dilakukan di empat rumah di Kampung Mueang Teh, Daerah Mae Lan, Pattani.

Pihak berkuasa berjaya menangkap tiga lagi individu berusia 21, 23 dan 24 tahun, yang disyaki terlibat dalam penyeludupan bahan letupan dan menyebabkan gangguan di Phuket, Krabi, serta Phang Nga.

Difahamkan, salah seorang daripada tiga individu terbabit adalah anak kepada seorang pemimpin politik tempatan.

Hasil soal siasat, suspek dilaporkan mengaku menerima arahan daripada pemimpin kumpulan di luar negara untuk mencipta situasi yang dapat menggugat kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa di bandar ekonomi di Laut Andaman iaitu Phang Nga, Phuket dan Krabi.

Paisan bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus negara terbabit, tetapi umum mengetahui Malaysia menjadi tempat persembunyian pemimpin kumpulan bersenjata yang berjuang menuntut kemerdekaan Selatan Thai.

Sambil menjelaskan bahawa operasi itu dilakukan mengikut prosedur undang-undang yang ketat, beliau berkata pihak berkuasa juga merampas sejumlah besar bukti, termasuk komunikasi mengenai serangan dan pengangkutan senjata di kawasan berkenaan.

Mengenai bahan letupan yang ditemui di tiga pusat peranginan berkenaan, Paisan berkata, ia bukanlah senjata pemusnah besar-besaran bertujuan untuk merosakkan atau menyebabkan kematian, tetapi hanya alat yang digunakan untuk menimbulkan panik awam, khususnya kepada pelancong.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberikan maklumat kepada pihak berkuasa yang akhirnya membawa kepada penangkapan suspek.

“Pihak berkuasa telah mengingkatkan kawasan di selatan Thai. Penekanan diberikan kepada bandar ekonomi,” katanya lagi.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading