KUALA LUMPUR – Jom Piknik! Bawa anak-anak kita ke Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur 21 Nov, 2026 untuk menyertai Piknik Perdana anjuran Persatuan Kebajikan Anak Kami (Anak Kami).
Menariknya, Anak Kami dengan kerjasama Meem Gold akan menggerakkan inisiatif bagi menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan generasi muda bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak dengan menawarkan pembukaan akaun secara percuma kepada 200 peserta terawal.
Setiausaha Anak Kami, Muhammad Azri Abdul Halim berkata, tawaran istimewa ini terbuka secara eksklusif kepada 200 pendaftaran kanak-kanak pertama sahaja.
“Tawaran ini sah sepanjang program komuniti berkenaan berlangsung bagi memberi peluang kepada mereka memulakan langkah pertama dalam dunia pengurusan kewangan,” katanya.
Selain manfaat pembukaan akaun secara percuma tanpa sebarang kos tersembunyi, penganjur turut menyediakan pelbagai cenderahati eksklusif serta hadiah menarik kepada para pengunjung dan peserta yang hadir awal, tertakluk kepada sementara stok masih ada.
Inisiatif berkenaan dirangka khusus bagi menyemai kesedaran literasi kewangan serta kepentingan menyimpan aset bernilai sejak usia muda, di samping membantu ibu bapa mengambil langkah proaktif dalam merancang masa depan kewangan serta pendidikan anak-anak mereka secara lebih teratur dan mampan.
Kerjasama strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Meem Gold itu juga dilihat sebagai usaha berterusan dalam mendidik masyarakat agar tidak memandang ringan aspek perancangan kewangan keluarga, terutamanya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup pada masa hadapan.
Dalam masa sama, penganjuran aktiviti bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak ini diharap dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang santai dan mesra keluarga, sekali gus menarik minat golongan muda untuk memahami nilai simpanan dengan cara yang lebih menyeronokkan.
“Orang ramai khususnya ibu bapa disaran untuk hadir lebih awal ke lokasi program bagi memastikan anak-anak mereka tidak terlepas peluang keemasan mendapatkan manfaat tersebut memandangkan kuota akaun percuma serta barangan cenderahati yang disediakan adalah sangat terhad,” Muhammad Azri berkata.
Majlis yang bermula 9 pagi dijangka berakhir pada pukul 2 petang. Jom hadir beramai-ramai!





Leave a Reply