DUA guru dan dua anggota Kor Pertahanan Sukarelawan (OSor) cedera ditembak individu tidak dikenali dalam satu kejadian terbaharu di Daerah Tak Bai, Narathiwat petang ini (28 Mei 2025), menyusul serangan ke atas Balai Polis Chanae, pagi tadi.

Dua guru terbabit, Muhammad Sukri Ha, 34, dari Sekolah Ban Koh Sathorn, dalam keadaan kritikal dan Sainuddin Jae Buraheng, 34, dari Sekolah Agama Furkon.

Manakala dua OSor berkenaan ialah Muslim Dosa, 37, dari Mukom Koh Sathorn; dan Hamdanuddin Salae, 34, dari Mukim Jeh Ha. Kedua-duanya di Daerah Tak Bai, Narathiwat, yang bersempadan dengan Pengkalan Kubor, Kelantan.

Tangkap layar penyerang (dalam bulatan) berlari mendekati gelanggang sepak takraw sambil melepaskan tembakan ke arah pemain dalam kejadian di Pejabat Pertubuhan Pentadbiran Daerah Koh Sathorn, Tak Bai, Narathiwat, petang tadi (28 Mei 2025).

Semua mangsa dihantar ke Hospital Tak Bai untuk rawatan kecemasan.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang tadi ketika semua yang cedera menyertai temasya sukan yang dihadiri penduduk tempatan di Pejabat Pertubuhan Pentadbiran Daerah Koh Sathorn.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, tembakan dilepaskan sekumpulan individu tidak dikenali ketika pertandingan sepak takraw diadakan di kawasan pejabat berkenaan.

Seorang penyerang dilihat berlari masuk berhampiran gelanggang sepak takraw dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemain.

Beberapa das tembakan kedengaran menyebabkan pemain dan orang ramai, termasuk kanak-kanak bertempiaran melarikan diri dalam ketakutan.

Maklumat awal mengatakan terdapat enam penjenayah menaiki tiga motosikal melakukan serangan itu.

Penyerang dipercayai turut berada dalam kalangan orang ramai yang hadir menyaksikan acara sukan sempena program antidadah.

Pihak berkuasa masih menyiasat, termasuk meneliti rakaman CCTV untuk melihat laluan yang digunakan penjenayah untuk melarikan diri.

Ini adalah kejadian kedua hari ini melibatkan kumpulan penyerang yang tidak dikenali.

Terdahulu, seorang sarjan mejar polis terbunuh dalam satu pertempuran dengan dua penyerang di Balai Polis Daerah Chanae di Wilayah Narathiwat, pagi tadi.

Komander Balai Polis Chanae, Sarjan Mejar Abdullah Makasen yang ketika itu berada di dalam bangunan terkena tembakan di kepala serta dada kanan sebelum meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading