Oleh Dr. Mohd Afifuddin Mohamad
“Abang ni asyik fikir mak abang saja. Anak isteri sendiri macam mana?”
Kata-kata itu menyambut kepulangan seorang suami yang baru selesai menemani ibunya menjalani rawatan di hospital. Tubuhnya letih, fikirannya kusut, namun hatinya lebih terluka apabila pengorbanannya dipersoalkan.
Di rumah lain, seorang isteri pula menangis apabila suaminya merungut kerana dia kerap pulang menjaga ayah yang terlantar akibat strok.
“Adik-beradik awak yang lain tak boleh jagakah?”
Situasi sebegini mungkin berlaku dalam sesetengah rumah tangga apabila tanggungjawab terhadap ibu bapa yang uzur bertembung dengan tuntutan kehidupan berkeluarga. Persoalannya, mengapa kasih sayang terhadap pasangan seolah-olah perlu dibuktikan dengan mengurangkan perhatian kepada ibu bapa sendiri?
Hari ini ibu bapanya, esok mungkin ibu bapa kita
Mudah untuk mempertikaikan pasangan yang kerap berulang-alik ke hospital, mengambil cuti atau menggunakan wang bagi membiayai rawatan ibu bapanya. Namun, pernahkah kita membayangkan keadaan sebaliknya?
Bagaimana jika suatu hari nanti ibu sendiri disahkan menghidap kanser atau ayah terlantar akibat strok? Sanggupkah kita mendengar pasangan berkata, “Sampai bila nak jaga mak ayah awak?”
Sudah tentu kata-kata itu menyakitkan.
Hakikatnya, seseorang yang menjaga ibu bapa sakit bukan sekadar menguruskan ubat, makanan atau perjalanan ke hospital. Dia juga sedang berdepan ketakutan kehilangan insan yang membesarkannya.
Ibu mentua yang sakit juga seorang ibu. Ayah mentua yang terlantar juga seorang ayah. Mereka mungkin bukan ibu bapa kandung kita, tetapi merekalah yang membesarkan insan yang kita cintai.
Berkahwin bukan bermakna melupakan ibu bapa
Islam meletakkan kedudukan ibu bapa pada tempat yang tinggi. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra ayat 23, yang memerintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.
Perkahwinan tidak memutuskan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya. Seorang suami tetap seorang anak. Begitu juga seorang isteri yang masih mempunyai tanggungjawab berbuat ihsan kepada ibu bapanya. Namun, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan secara seimbang.
Menjaga ibu bapa bukan alasan untuk mengabaikan nafkah, pasangan atau anak-anak. Begitu juga kasih sayang terhadap pasangan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalang seseorang berbakti kepada ibu bapanya.
Kebijaksanaan rumah tangga terletak pada kemampuan mencari penyelesaian bersama, bukannya memaksa pasangan memilih antara dua tanggungjawab penting.
Jangan biarkan penjaga menanggung semuanya
Menjaga ibu bapa yang sakit bukan tugas mudah. Ada anak terpaksa mengambil cuti, berjaga malam, menanggung perbelanjaan rawatan dan menguruskan keperluan harian pesakit.
Dalam bidang psikologi kesihatan, keadaan ini boleh menyumbang kepada caregiver burden, iaitu beban fizikal, emosi dan kewangan yang dialami penjaga. Keletihan berpanjangan boleh menyebabkan tekanan, gangguan tidur dan konflik rumah tangga.
Kadangkala, pertengkaran berlaku bukan kerana kasih sayang semakin pudar, tetapi kerana kedua-dua pihak terlalu penat dan gagal memahami perasaan masing-masing. Daripada berkata, “Awak asyik jaga mak awak saja,” lebih baik bertanya, “Bagaimana kita boleh bahagikan tanggungjawab supaya semuanya terurus?”
Adik-beradik juga perlu memainkan peranan. Jangan biarkan seorang anak sahaja menguruskan segala-galanya, sedangkan yang lain sekadar memberikan arahan. Pembahagian giliran penjagaan, perkongsian kos rawatan dan bantuan ahli keluarga dapat mengurangkan tekanan. Penjaga juga manusia. Mereka memerlukan rehat, perhatian dan sokongan.
Kasih sayang bukan pertandingan
Dalam kehidupan berumah tangga, ada kalanya kita terlalu sibuk mempertahankan hak sendiri sehingga terlupa memahami kesusahan pasangan. Suami yang menemani ibunya ke hospital tidak semestinya kurang menyayangi isterinya.
Begitu juga isteri yang menjaga ayahnya yang uzur bukan bermaksud mengabaikan suami. Bayangkan betapa menenangkannya apabila seorang suami berkata, “Pergilah tengok mak. Abang uruskan anak-anak hari ini.”
Atau seorang isteri berkata, “Abang bawalah ayah ke hospital. Biar saya uruskan rumah.”
Ungkapan ringkas ini mungkin kelihatan kecil, tetapi amat besar maknanya kepada pasangan yang sedang diuji. Rumah tangga bahagia bukanlah rumah tangga tanpa pengorbanan, sebaliknya tempat suami isteri saling menguatkan ketika berdepan kesusahan.
Jangan tunggu sehingga semuanya terlambat
Ibu bapa tidak meminta untuk menjadi tua. Mereka juga tidak memilih untuk jatuh sakit atau bergantung kepada anak-anak. Suatu ketika dahulu, merekalah yang berjaga malam ketika kita demam, menyediakan makanan dan memastikan keperluan kita dipenuhi.
Kini, apabila usia semakin lanjut dan kesihatan merosot, wajarkah masa bersama mereka dipertikaikan?
Kita tidak mengetahui berapa lama lagi peluang untuk mendengar suara ibu atau menggenggam tangan ayah. Justeru, sebelum mempertikaikan pasangan yang menjaga ibu bapanya, bayangkan jika kita berada di tempatnya. Jangan sampai kita menang dalam pertengkaran rumah tangga, tetapi kehilangan peluang terakhir untuk berbakti kepada ibu bapa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia.




Leave a Reply