SEORANG sarjan mejar polis terbunuh dalam satu pertempuran dengan dua penyerang di Balai Polis Daerah Chanae di Wilayah Narathiwat, pagi tadi (28 Mei 2025).

Komander Balai Polis Chanae, Sarjan Mejar Abdullah Makasen yang ketika itu berada di dalam bangunan terkena tembakan di kepala serta dada kanan sebelum meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Kejadian pada jam 8.39 pagi tadi turut menyebabkan Komander Unit Peronda, Sarjan Mejar Jessada Phromrat, cedera parah selepas terkena tembakan di dada. Keadaannya dilaporkan kritikal.

Jurucakap polis Chanae berkata, siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya dua penyerang menaiki sebuah motosikal melepaskan antara 20 dan 30 das tembakan menggunakan senjata automatik ke arah bangunan dan pondok pengawal balai polis berkenaan.

Menurutnya, polis, tentera dan kor pertahanan sukarelawan yang ditempatkan di kawasan itu membalas tembakan ke arah pelaku, mengakibatkan pertempuran yang berlangsung lebih 15 minit, sebelum pelaku melarikan diri.

“Selepas kejadian itu, didapati dua anggota polis iaitu Abdullah dan Jessada terkena tembakan. Mereka dikejarkan ke Hospital Chanae,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa memeriksa rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di sekitar Balai Polis Chana bagi mengesan pelaku.

“Dapatan awal menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya dua pelaku menggunakan motosikal… kedua-duanya memakai topi keledar untuk menutup muka daripada diketahui,” katanya.

Abdullah, meninggalkan seorang balu yang hamil tiga bulan serta seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading