PULUHAN murid, guru dan ibu bapa sebuah sekolah di Daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, dikejutkan dengan serangan terhadap seorang anggota Kor Pertahanan Sukarelawan (VDC) – pasukan separa tentera Thailand – yang ditugaskan mengawal di pintu masuk sekolah berkenaan, pagi tadi (21 Mei 2025).

Susulan itu Pejabat Pendidikan Daerah 2 Yala mengarahkan sekolah berkenaan ditutup sehari bagi memastikan keselamatan guru dan murid terjamin.

Kejadian berlaku di hadapan Sekolah Ban Taopoon, Bannang Sata kira-kira jam 7.40 pagi tadi ketika VDC Wan Asri Matha, 30, bersama beberapa rakan bertugas mengawal keselamatan guru dan murid di hadapan sekolah berkenaan.

Anggota VDC Wan Asri Matha, 30, yang cedera ditembak dihantar ke hospital untuk rawatan.

Pihak yang tidak diketahui jumlah dan senjata yang digunakan melepaskan tembakan ke arah Wan Asri menyebabkan dia cedera di rusuk kanan. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Bannang Sata sebelum dipindahkan ke Hospital Yala.

Insiden itu menimbulkan ketakutan dan panik dalam kalangan guru dan murid menyebabkan Pejabat Pendidikan Daerah 2 menutup sekolah berkenaan hari ini.

VDC juga dikenali sebagai Osor dalam kalangan penduduk tempatan.

Selepas kejadian itu, anggota pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera mengawal kawasan berkenaan untuk mengelakkan kejadian berulang dan menjejaki pelakunya.

Pihak berkuasa belum pasti sama ada insiden berkenaan berpunca daripada isu peribadi atau cubaan mewujudkan keadaan tidak tenteram.

Untuk rekod, hampir semua sekolah di Selatan Thai, khususnya di Deep South (Yala, Narathiwat, Pattani dan empat daerah di Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Natawee dan Chana), akan dikawal oleh pasukan separa tentera atau renjer pada waktu pagi ketika murid dan guru tiba, serta pada sebelah petang.

Kelmarin (19 Mei), dua anggota OSor maut, manakala tiga rakan mereka cedera ditembak individu tidak dikenali, ketika mereka berjoging kira-kira 400 meter dari pangkalan operasi di Telok Leweng, Mukim Don Sai, Daerah Mai Kaen, Pattani.

Sementara itu, Persatuan untuk Keamanan dan Pembangunan dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain mengeluarkan kenyataan mendesak keganasan, khususnya terhadap orang awam, dihentikan serta-merta.

Mereka mendesak dihentikan segala bentuk keganasan terhadap orang awam; menghormati maruah manusia dan kepelbagaian dalam masyarakat; serta berpegang kepada prinsip hak asasi manusia sejagat.

“Setiap manusia berhak menjalani kehidupan normal,” kata persatuan itu hari ini sambil mengucapkan takziah kepada keluarga pasangan suami isteri yang maut ditembak di Daerah Raman, Yala pada 17 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, Buraheeng Silaru, 48 tahun, dan Siti Maliyah Abdulpaleh, 46, ditembak pihak tidak dikenali di hadapan rumah mereka.

Persatuan itu menegaskan, orang awam adalah individu yang tidak terlibat dalam konflik.

‘Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL), kepelbagaian identiti, agama, bangsa atau kepercayaan adalah sesuatu yang mesti dihormati dan dilindungi secara sama rata.

“Orang yang tidak terlibat dalam pertempuran tidak boleh menjadi sasaran dalam apa cara sekalipun. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kita semua mempunyai maruah manusia yang sama,” kata persatuan itu.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading