EMPAT penyerang berpakaian seperti pasangan muslim menaiki dua motosikal menembak mati dua anggota Kor Pertahanan Sukarelawan (VDC) – pasukan separa tentera Thailand – dalam satu serangan di Daerah Mai Kaen, Wilayah Pattani, petang semalam (19 Mei 2025).

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, dua lagi anggota VDC atau dikenali sebagai OSor cedera, manakala seorang terselamat.

Jurucakap polis Mai Kaen berkata, serangan berlaku ketika lima anggota OSor itu sedang berjoging di jalan berhampiran pantai di Telok Leweng, Mukim Don Sai tidak jauh dari pangkalan unit perlindungan daerah.

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan empat individu menaiki dua motosikal disyaki terbabit dalam serangan terhadap lima anggota VDC di Mai Kean, Pattani, semalam (19 Mei 2025).

Menurutnya, penyerang menggunakan pistol dan senjata api yang digunakan tentera untuk melepaskan tembakan ke arah lima anggota VDC berkenaan.

“Empat anggota VDC terbabit terkena tembakan. VDC Suhaimi Abu dan VDC Marosalee Toseng, cedera parah. Kedua-duanya kehilangan banyak darah dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

“Dua lagi anggota VDC, Daree Laemue dan Muridan Abu kini dirawat di hospital,” katanya sambil menjelaskan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki bersenjata yang bertindak sebagai pembonceng berpakaian seperti wanita Islam.

Polis kemudian menutup tempat kejadian bagi memudahkan pasukan forensik mengumpul bukti secara terperinci. Beberapa kelongsong peluru pistol dan senjata tentera turut ditemukan.

Pihak berkuasa membuat andaian bahawa serangan itu dilakukan kumpulan pemberontak bagi mewujudkan keadaan tidak tenteram di kawasan berkenaan.

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan empat individu menaiki dua motosikal disyaki terbabit dalam serangan terhadap lima anggota VDC di Mai Kean, Pattani, semalam (19 Mei 2025).

Insiden serangan terhadap kakitangan kerajaan beragama Islam di Selatan Thai, khususnya anggota VDC, tentera dan polis, kerap berlaku namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Sabtu lalu (17 Mei) dua anggota VDC cedera selepas ditembak pihak tidak dikenali di Mukim Lam Mai, Daerah Mueang, Wilayah Yala.

Kejadian berlaku ketika kedua-duanya menaiki motosikal dalam perjalanan untuk bertukar syif mengawal pusat pemeriksaan Tha Sadao di Mukim Lam Phaya di daerah sama.

Sejak beberapa bulan lalu, pihak berkuasa menemukan risalah amaran kepada umat Islam yang bekerja dengan kerajaan Thai, khususnya anggota VDC dan pasukan keselamatan lain.

Risalah itu mengarahkan mereka berhenti daripada menjadi tali barut kerajaan Thai atau berdepan tindakan. Risalah itu bagaimanapun menyatakan mereka akan selamat sekiranya memberi maklumat kepada kumpulan bersenjata.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading