SEPASANG suami isteri menjadi korban terbaharu serangan terhadap orang awam yang dilakukan pihak tidak dikenali di rumah mereka di Daerah Raman, Yala, malam tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Raman berkata pihaknya menerima laporan daripada ketua kampung Ban Choe Bu Mae, Mukim Cha-kwa, Raman kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan.

Menurutnya, laporan itu menyatakan sepasang suami isteri, Buraheeng Silaru, 48 tahun, dan Siti Maliyah Abdulpaleh, 46, ditembak pihak tidak dikenali di hadapan rumah mereka.

Mangsa ditembak mati di luar rumah dalam kejadian di kampung Ban Choe Bu Mae, Mukim Cha-kwa, Raman kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan 17 Mei 2025.

Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian setelah dipercayai ditembak bertubi-tubi. Motif serangan masih belum dapat dipastikan.

“Anggota Balai Polis Raman bersama pasukan keselamatan tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal, mengumpul bukti forensik serta merakam keterangan daripada penduduk dan saksi yang berada di sekitar kawasan tersebut.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan motif di sebalik pembunuhan ini,” katanya.

Difahamkan, kedua-duanya ditembak beberapa kali di kepala dan badan dengan pistol.

Siasatan awal mendapati pelaku terdiri daripada dua individu yang menaiki sebuah motosikal. Polis tidak menyimpulkan motif pembunuhan itu, sama ada konflik peribadi atau cubaan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

Terdahulu, dua anggota Kor Pertahanan Sukarelawan yang menaiki sebuah motosikal cedera ditembak dalam kejadian di Lebuhraya 4068 di Mukim Lam Phaya, Daerah Mueang, Wilayah Yala, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Kejadian berlaku ketika kedua-duanya – Sarjan Mejar Sudden Mayingo dan Afandi Saba – dalam perjalanan untuk menukar syif di pusat pemeriksaan Thung Sadao.

Ketika motosikal itu tiba di tempat kejadian, kira-kira 800 meter sebelum pusat pemeriksaan, mereka ditembak sekumpulan individu tidak dikenali.

Kejadian malam tadi mengimbas insiden serangan terhadap orang awam yang berlaku pada petang dan malam 2 Mei lalu, yang menyebabkan empat penduduk, termasuk kanak-kanak, terbunuh.

Tiga lagi mangsa cedera parah dan telah menjalani pembedahan di Hospital Chanae dan Tak Bai.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, enam individu yang menaiki tiga motosikal melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah tiga buah rumah di Kampung 4, Mukim Khosit, Tak Bai, Narathiwat, menyebabkan tiga, termasuk kanak-kanak 9 tahun, terbunuh.

Dua lagi penghuni rumah cedera.

Terdahulu kira-kira jam 3.25 petang hari sama, penjenayah menembak mati seorang wanita buta berusia 76 tahun, yang ketika itu membonceng motosikal anaknya di Daerah Chanae. Anaknya turut cedera.

Beberapa pihak kemudian menuduh kumpulan pejuang kemerdekaan Selatan Thai terlibat dalam serangan berkenaan.

Susulan itu, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menafikan menyerang orang awam susulan beberapa insiden yang menyebabkan kematian dan kecederaan di wilayah sempadan selatan atau dikenali sebagai ‘Deep South’.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 5 Mei 2025, BRN – pergerakan pejuang kebangsaan paling aktif di Selatan Thai – menegaskan mereka tidak menjadikan orang awam sebagai sasaran serangan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading