
ORGANISASI yang terlibat dalam perbincangan bagi mewujudkan perdamaian di Selatan Thai tidak boleh bulat-bulat menerima tiga syarat yang ditetapkan Kerajaan Thailand sekiranya mahu meneruskan Proses Dialog Damai.
Perkara ini ditegaskan Presiden Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Kasturi Mahkota sambil turut menyatakan dua syarat balas yang perlu dipatuhi oleh pihak kerajaan bagi mewujudkan situasi menang menang.
Beliau memberi syarat itu dalam ulasan video siaran langsung di Facebooknya malam tadi sebagai menjawab soalan daripada Apa Khabar TV berkaitan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai.

Terdahulu, Phumtham yang juga Menteri Pertahanan memberi tiga syarat kepada Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) – pergerakan yang mewakili kumpulan pejuang Selatan Thai dalam Proses Dialog Damai dengan kerajaan Thai – sekiranya mahu rundingan disambung semula.
Tiga syarat itu ialah:
- Berhenti menggunakan keganasan dalam semua bentuk;
- Berpegang kepada pendekatan pelbagai budaya; dan
- Rundingan mestilah di bawah Perlembagaan Thai.
Mengulas syarat pertama, Kasturi berpendapat pergerakan pejuang tidak mempunyai masalah untuk berhenti melakukan tindakan yang mencetuskan pergolakan di Selatan Thai.
“Kita boleh berhenti… bukan tak boleh. Tapi pada masa sama kena tahu juga kejadian (serangan) itu dilakukan pihak mana? Di tempat kita (Selatan Thai) banyak pihak yang melakukannya… banyak jenis.
“Jenis (pihak) pertama ialah kumpulan pejuang sendiri, yang kedua tentera sendiri, ketiga adalah pihak yang jahat, keempat adalah sindiket dadah dan kelima ialah pihak yang mempunyai perselisihan peribadi.
“Oleh kerana dia (kerajaan) telah memberi syarat maka kita pun kena beri syarat juga kepada mereka… syarat untuk kita berhenti melakukan insiden-insiden itu mudah,” katanya.
Beliau memberikan syarat pertama iaitu pasukan tentera pengaman antarabangsa perlu ditempatkan di Selatan Thai bagi memastikan insiden melibatkan kumpulan pejuang dan tentera, tidak berlaku.
“Jika tidak, keadaan akan berterusan di mana mereka akan sentiasa menyalahkan kumpulan pejuang… apa yang pejuang buat dia salahkan pejuang… apa yang dia buat, dia salahkan pejuang juga.
“Kalau kita (pejuang) berhenti tapi dia (tentera) buat, dia salahkan kita… sindiket dadah buat, dia kata kita… jika dia terima syarat ini tiada masalah kita untuk berhenti,” katanya.
Mengulas syarat kedua iaitu berpegang kepada pendekatan pelbagai budaya, Kasutri menjelaskan bahawa perkara itu tiada masalah langsung kerana orang Melayu Selatan Thai telah lama hidup dengan masyarakat Siam.
“Orang Melayu Selatan Thai bukan rasis… kami memuliakan tetamu. Bukan kita nak halau (orang Siam) keluar dari Selatan Thai,” katanya.
Bagi rundingan di bawah perlembagaan, beliau berkata perkara itu juga tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan Thai juga boleh memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu memberi autonomi kepada Selatan Thai untuk menjadi Wilayah Pentadbiran Khas.
“Tapi kuasa autonomi itu bukan berkekalan selama-lamanya… ia boleh ditetapkan untuk tempoh 20 atau 30 tahun. Selepas tempoh itu adakan referandum (pungutan suara) dalam kalangan penduduk, sama ada mahu kemerdekaan atau terus dengan autonomi.
“Seperti Scotland yang memiliki kuasa autonomi, tetapi kekal di dalam United Kingdom. Sama juga dengan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM)… demikian juga Aceh di Indonesia.
“Di Scotland autonominya luar biasa… selepas tempoh tertentu pungutan suara dibuat tetapi rakyatnya tidak mahu merdeka tetapi mahu kekal sebagai wilayah autonomi,” katanya.
Sehubungan itu, Kasturi berkata ketiga-tiga syarat yang dinyatakan oleh Phumtham boleh dipenuhi sekiranya kerajaan Thai juga menerima syarat yang ditetapkan.
Beliau sekali lagi mengingatkan orang Melayu supaya tidak lupa bahawa Patani (wilayah Selatan Thai) adalah hak milik Melayu itu sendiri.






Leave a Reply