KERAJAAN Thailand tidak serius sama sekali untuk menyelesaikan masalah pergolakan di Selatan Thai yang lebih dikenali sebagai wilayah sempadan selatan (Deep South), kata Presiden Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Kasturi Mahkota.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya mengadakan rundingan hanya untuk mencari maklumat dan ingin mengetahui siapa yang melakukan keganasan di wilayah sempadan selatan.

“Masalah dengan rundingan damai itu ialah kerajaan Thai tidak serius sama sekali. Matlamat Thai adalah hanya untuk mengetahui siapa yang melakukan jenayah itu.

“Apa yang Kerajaan Thailand mahu tahu ialah siapa yang melakukan pengeboman dan menembak. Mereka mencari kumpulan ini, tetapi kumpulan ini tidak akan mendedahkan diri mereka,” katanya kepada apakhabartv.com.

Untuk rekod, PULO adalah salah satu kumpulan pejuang di Selatan Thai tertua yang memperjuangkan pembebasan Pattani. Pergerakan ini diasaskan oleh seorang ulama Melayu Patani, Kabir Abdul Rahman pada tahun 1968, dan turut mempunyai sayap bersenjatanya.

Sementara Kasturi sendiri sebelum ini telah mengambil bahagian dalam banyak perbincangan untuk mencari jalan perdamaian, baik secara rahsia atau terbuka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain PULO terdapat pertubuhan yang bergerak aktif, seperti Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), serta beberapa organisasi lain.

Katanya, setiap organisasi itu mempunyai wakil yang telah bercakap berkenaan segala perkara dan telah mencapai persetujuan ‘akan bersama-sama datang ke meja rundingan’.

“Kami sedia berunding, tetapi pihak Thailand masih bermain-main dan tidak serius kerana pihak Thailand hanya mahu tahu siapa pelakunya.

“Perbezaan antara kami dan pihak Thai ialah kami benar-benar mahu berbincang untuk menamatkan masalah. Tetapi apa yang Kerajaan Thailand lakukan hanyalah mahu tembakan dan pengeboman dihentikan, bukan benar-benar mahu menyelesaikan masalah itu.

“Akibatnya, baru-baru ini kita tidak mahu berbincang lagi… jika kita berbincang dengan sayap politik, kumpulan yang menyebabkan insiden itu akan berhenti dengan sendirinya,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading