
RUNDINGAN damai Selatan Thai boleh disambung semula jika Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) bersedia memenuhi tiga syarat, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Sambil menegaskan bahawa beliau telah memaklumkan kepada Fasilitator Kerajaan Malaysia, Datuk Mohd Rabin Basir berhubung rancangan meneruskan dialog damai itu, Phumtham yang juga Menteri Pertahanan berkata tiga syarat berkenaan ialah:
- Berhenti menggunakan keganasan dalam semua bentuk;
- Berpegang kepada pendekatan pelbagai budaya; dan
- Rundingan mestilah di bawah Perlembagaan Thai.
Menurutnya, Kerajaan Thailand tidak boleh berunding dengan mana-mana kumpulan yang terus menggunakan keganasan, khususnya melakukan serangan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, kumpulan agama dan orang kurang upaya.
“Penganut Buddha Thai dan Muslim Thai pernah hidup bersama secara aman, tetapi keganasan adalah sebahagian daripada percubaan untuk berpisah daripada Thailand,” kata Phumtham.
Beliau juga menjelaskan bahawa tidak akan ada rundingan jika kumpulan pemberontak mahu mewujudkan Negara Patani.
Phumtham menambah bahawa kerajaan bersedia menerima penyertaan awam dalam pentadbiran sendiri di Deep South tetapi bukan sebagai sebuah negara merdeka.
“Rundingan mengenai isu-isu yang bercanggah dengan struktur negara kesatuan dan Raja sebagai ketua negara adalah tidak mungkin. Tetapi ia terbuka kepada bentuk tadbir urus sendiri di bawah undang-undang Thailand, seperti pentadbiran tempatan atau mekanisme penyertaan politik tempatan,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Kenyataan ini dibuat dalam reaksi pertamanya susulan siri keganasan yang semakin meningkat di wilayah sempadan selatan yang dikenali sebagai ‘Deep South’ – Narathiwat, Yala dan Pattani, serta empat daerah di Songkhla iaitu Saba Yoi, Thepa, Chana dan Natawee.
Sambil mengutuk keganasan itu, Phumtham berkata, beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk lebih proaktif dalam menangani pemberontakan dan melindungi rakyat.
Selain itu beliau juga menjelaskan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau telah bertemu dengan fasilitator baharu untuk dialog damai dan memaklumkan bahawa Kerajaan Thailand menolak keganasan dan tidak akan berdialog dengan kumpulan pemberontak, melainkan keganasan dihentikan terlebih dahulu.
“Apa gunanya perbincangan jika keganasan tidak dapat dikawal?” soal beliau sambil menambah bahawa kerajaan, bagaimanapun, bersedia untuk menyambung dialog damai.
Katanya, beliau memberitahu fasilitator Malaysia bahawa kumpulan pemberontak mesti menghentikan keganasan dan berhenti bermain politik.
“Tiada gunanya kumpulan pemberontak (BRN) mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan ke atas orang awam, kerana pelakunya adalah dari dalam kumpulan mereka sendiri,” dakwa beliau lagi.
Sebelum ini, BRN dalam satu kenyataan pada pertengahan Disember tahun lalu berkata mereka tidak akan tunduk kepada Perlembagaan Thai jika ia dijadikan syarat baharu oleh kerajaan pimpinan Paetongtarn Shinawatra bagi meneruskan rundingan damai Selatan Thai.
Jurucakap BRN, Dr Nimatullah Seri berkata BRN mempunyai sikap yang jelas iaitu mahu meneruskan rundingan, tetapi tidak mahu ianya bermula daripada kosong.
Ketegangan di Deep South memuncak, khususnya pada 18 April apabila seorang ustaz ditembak mati oleh individu tidak dikenali di Daerah Sungai Golok, Narathiwat. Media sosial tempatan mengembar-gemburkan pembunuhan itu dilakukan ‘orang kerajaan’, tetapi dinafikan Pusat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4.
Susulan itu, beberapa serangan terhadap orang awam dilakukan pihak tidak dikenali, menyebabkan beberapa kematian, termasuk melibatkan kanak-kanak dan sami Buddha.
Kelmarin (5 Mei), BRN menafikan terlibat menyerang orang awam dan menegaskan pergerakan itu akan terus berjuang dengan mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Untuk rekod, BRN bukan semata-mata kumpulan pejuang di Selatan Thai, sebaliknya terdapat juga Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO); Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP); dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP), serta Majlis Syura Patani (MARA Patani).






Leave a Reply