
BARISAN Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menafikan menyerang orang awam susulan beberapa insiden yang menyebabkan kematian dan kecederaan di wilayah sempadan selatan atau dikenali sebagai ‘Deep South’.
Deep South merujuk kepada kawasan utama konflik di Selatan Thai melibatkan tiga wilayah iaitu Yala; Pattani; dan Narathiwat, serta empat daerah di Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.
Dalam satu kenyataan media bertarikh 5 Mei 2025 (semalam), BRN menegaskan pergerakan itu tidak menjadikan orang awam sebagai sasaran serangan.
Salah seorang pemimpin tertinggi BRN, Dr Nimatullah Seri mengesahkan pihaknya mengeluarkan kenyataan itu.

Menurut BRN, pergerakan itu juga akan terus berjuang dengan mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Berikutan kejadian yang berlaku di kawasan bergolak Patani Darussalam baru-baru ini, yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan penderitaan orang awam, BRN ingin menyatakan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa.
“BRN ingin menegaskan bahawa, kami tidak mempunyai dasar menyerang sasaran orang awam dan tetap berpegang kepada prinsip perjuangan yang menghormati nyawa, maruah dan hak asasi semua pihak.
“BRN berpegang teguh kepada hak menentukan nasib sendiri bagi rakyat Melayu Patani. Kami akan terus berjuang dengan mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami menolak sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah, dan akan memberi tumpuan kepada pembinaan ruang politik yang adil dan inklusif supaya rakyat dapat menentukan masa depan mereka tanpa penindasan oleh negara Thai,” kata BRN dalam kenyataan itu.
Ini adalah kali pertama BRN menafikan pembabitan mereka dalam serangan terhadap orang awam yang berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.
Sebelum ini, pergerakan itu hanya berdiam diri jika berlaku insiden terhadap orang awam, sehingga penduduk tempatan mula percaya kejadian itu dilakukan oleh anggota sayap bersenjata BRN.
Dalam kenyataan itu juga BRN mendesak pihak berkuasa menyiasat sebarang bentuk keganasan terhadap orang ramai dilakukan secara telus.
“Kami menyeru agar semua pihak, baik kerajaan Thai mahupun kumpulan perjuangan, menghindari tindakan yang membahayakan orang awam.
“Perjuangan kami adalah demi kebebasan dan maruah rakyat Patani, bukan untuk menyebar ketakutan. Marilah kita bersama teguh berdiri dengan aman dan bijaksana,” kata kenyataan itu.
Pada 2 Mei lalu, empat orang awam yang juga penganut Buddha, termasuk seorang kanak-kanak dan orang tua yang buta, ditembak mati dalam dua kejadian di Daerah Chanae dan Tak Bai di Wilayah Narathiwat.






Leave a Reply