SELATAN THAI: Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) tidak akan tunduk kepada Perlembagaan Thai jika ia dijadikan syarat baharu oleh kerajaan pimpinan Paetongtarn Shinawatra bagi meneruskan rundingan damai Selatan Thai.

Jurucakap BRN, Dr Nimatullah Seri berkata BRN mempunyai sikap yang jelas iaitu mahu meneruskan rundingan, tetapi tidak mahu ianya bermula daripada kosong.

“BRN tidak mahu lagi undur ke belakang… start (bermula) daripada kosong. Tidak. Tetapi BRN juga siap untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kalau sebelah pihak Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG), sebelah pihak kerajaan Thai ingin start daripada kosong okey kita siap.

“Tetapi BRN juga ada kemahuan-kemahuan tertentu. Tidak akan terima lagi apa-apa syarat sebelum rundingan. Antaranya berunding di bawah Perlembagaan Thai.

“BRN akan tolak frasa itu dan statement (kenyataan) mengatakan bahawa semuanya berada di bawah Perlembagaan. Mana mungkin di dalam konflik kita berada di bawah undang-undang, satu-satu peraturan dan sebagainya.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan sebuah akaun Facebook yang dilihat rapat dengan perjuangan menegakkan keadilan bagi penduduk di Selatan Thai, hari ini (18 Disember 2024).

Untuk rekod, Dr Nimatullah mengetuai BRN pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama kali Ke-10 Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai (JWG-PDP) Wilayah Sempadan Selatan Thailand antara PEDP/RTG dan BRN yang diadakan pada 19 Mei hingga 21 Mei 2024 di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Dr Nimatullah mengajak Kerajaan Thailand untuk kembali kepada undang-undang dan standard antarabangsa bagi menyelesaikan konflik yang telah berpanjangan lebih 20 tahun di Selatan Thai.

“BRN sentiasa mendambakan, sentiasa menuntut bahawa di dalam proses rundingan ini harus bersandarkan standard antarabangsa. Seperti yang diamal… yang digunakan oleh tempat-tempat lain… konflik-konflik lain. Antaranya kita perlu adanya monitoring (pemantauan) sebagai contoh di dalam program.

“Di dalam ceasefire (gencata senjata) kita perlu ada monitoring (pemantau), expert (pakar). Pakar-pakar antarabangsa. Perlu ada keterlibatan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) international dan sebagainya… dan semua ini yang diinginkan oleh BRN.

“Dan proses kita ini tidak boleh dirahsiakan, harus dipublikkan (diberitahu) setiap pergerakan kemajuan, proses update (kemas kini) proses itu harus disampaikan ke peringkat akar umbi, kepada rakyat kita itu sendiri supaya rakyat itu saling faham apakah yang berlaku dan kemajuan apakah yang sudah berlaku di atas meja rundingan,” katanya.

Menurutnya, BRN juga menyambut baik pertemuan Paetongtarn dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu yang turut menyentuh Pelan Komprehensif Bersama ke Arah Pendamaian (JCPP).

Tetapi, katanya terdapat persoalan yang timbul iaitu bagaimana hendak menjadikan JCPP itu sebagai kenyataan.

“Bagaimana? Sedangkan pihak Thai belum ada lagi delegasi dan apakah tujuan mereka ingin meneruskan rundingan… tetapi pada masa yang sama tidak melantik siapa bertanggungjawab terhadap rundingan itu.

“Dan mereka (kerajaan Thai) masih berbelah-bahagi di situ.. dan ini menjadi persoalannya… BRN ingin menekankan sekiranya pihak Thai ingin benar-benar menyelesaikan konflik di Pattani itu… tunjukkan bukti bahawa ada lantikan dahulu delegasi yang mempunyai mandat yang jelas daripada kerajaan Thai.

“Barulah boleh kita bercakap seterusnya program-program kita seterusnya dan BRN juga ingin meyakinkan kepada rakyat Pattani bahawa BRN sangat menuntut untuk balik berbincang dengan masyarakat.

“Yang dinamakan di dalam konsultasi awam bermakna BRN balik berbincang dengan orang kampung sebab orang kampung, rakyat kita berhak menentukan nasib mereka sendiri. Bagaimana nasib mereka dan masa depan mereka harus ditentukan oleh rakyat. Sebab BRN ini hanya menjalankan aspirasi rakyat,” katanya.

Dr Nimatullah melihat bekas Perdana Menteri, Srettha Thavisin lebih komited dan bersungguh-sungguh untuk mencari perdamaian di Selatan Thai, berbanding Paetongtarn.

Beliau berkata, kini wujud ruang yang boleh menjejaskan dan melewatkan proses damai kerana kerajaan baharu pimpinan Paetongtarn belum mempunyai satu polisi yang jelas untuk mencari jalan penyelesaian.

“Bagi BRN (kami) siap untuk menghadapi dan sanggup berbincang mencari jalan penyelesaian baik… sama ada ketua team (Thailand) itu daripada golongan tentera, latar belakang polis, orang awam, sivil, cerdik pandai, para pendidik dan sebagainya… bagi BRN (kami) siap.

“Sebab BRN secara komitednya ikhlasnya ingin mencari jalan penyelesaian. Lebih-lebih lagi kita tidak kira walaupun itu daripada team konservatif ke, team demokrasi ke, team apa sahaja sekalipun BRN siap untuk mencari jalan penyelesaian.

“Sikap kerajaan yang melengah-lengahkan untuk melantik ketua delegasi dan team delegasi sebelah kerajaan Thai ini sangat mengecewakan BRN. Sebab kelewatan ini boleh menghancurkan segala usaha proses sebelum ini. Ini sangat mengecewakan,” katanya yang turut menyatakan bahawa rakyat Pattani juga amat terkesan dengan konflik berpanjangan ini.

“Bagi BRN, kalau lebih cepat kita selesaikan, lebih cepat kita boleh menyelamatkan nyawa anak-anak bangsa kita yang selalu menghadapi ancaman-ancaman di dalam kehidupan,” katanya.

Untuk rekod, ketika pemerintahan dipimpin Srettha, beliau melantik Chatchai Bangchud – pegawai awam pertama bagi mengetuai pasukan perunding Thailand. Chatchai kini dilantik sebagai Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara dan tempatnya sebagai ketua perunding belum digantikan sehingga sekarang.

Sementara, Kerajaan Malaysia pula telah melantik bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir sebagai fasilitator baharu mulai 1 Julai lalu, menggantikan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang dilantik pada 1 Januari 2024.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading