PIHAK berkuasa Thailand meningkatkan langkah keselamatan pada tahap tertinggi susulan beberapa kejadian pengeboman dan serangan terhadap orang awam sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, sejak beberapa hari lalu.

Panglima Tentera Wilayah 4, Lt Jeneral Paisarn Nusang berkata sejak 18 April lalu, keganasan berlaku berterusan, terutama di Wilayah Narathiwat bermula dengan pembunuhan seorang ‘ustaz’ di Sungai Golok.

Menurutnya, ada pihak yang memutarbelitkan kebenaran dengan mendakwa pembunuhan ‘ustaz’ itu dilakukan oleh anggota pihak berkuasa.

Panglima Tentera Wilayah 4, Lt Jeneral Paisarn Nusang melawat tempat kejadian di Daerah Tak Bai, Narathiwat.

“Ini mengakibatkan beberapa tindakan balas ganas, seperti serangan bom di flat Balai Polis Kok Khian (yang turut mencederakan beberapa pelajar tahfiz) dan serangan terhadap penganut Buddha di Daerah Waeng.

“Ia disusuli dengan tembakan yang menyebabkan seorang sami muda terbunuh (di Daerah Saba Yoi, Songkhla).

“Kejadian terbaharu berlaku semalam melibatkan empat kematian penganut Buddha, termasuk seorang kanak-kanak dan orang tua yang buta di Daerah Chanae dan Tak Bai di Wilayah Narathiwat,” katanya pada sidang media di Pattani, hari ini (3 Mei 2025).

Paisarn yang juga Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 berkata beliau telah mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan ke peringkat tertinggi.

Serentak itu juga, katanya, semua cuti anggota pasukan keselamatan digantung berkuat kuasa serta-merta selain menitikberatkan kawalan pada waktu solat Maghrib iaitu anara jam 7 hingga 8 malam.

“Pada masa ini, kami sedang mengesan untuk menangkap pelaku berdasarkan petunjuk dan kesan. Kami ingin meminta kedua-dua penganut Buddha dan Muslim untuk bekerjasama dan yakin dengan langkah keselamatan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam kejadian di Sungai Golok semalam, enam individu menaiki tiga motosikal melepaskan tembakan menggunakan senjata api M16 terhadap tiga buah rumah di Kampung 4, Mukim Khosit, Tak Bai.

Katanya, motosikal pertama berhenti di hadapan sebuah rumah di mana pembonceng melepaskan tembakan menyebabkan dua, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh, dan dua lagi cedera.

“Kumpulan kedua pelaku berhenti di hadapan rumah bersebelahan. Pada masa sama seorang penghuninya berlari keluar setelah mendengar bunyi tembakan, tetapi dia kemudian mati ditembak.

“Kumpulan ketiga pula berhenti di sebuah lagi rumah berdekatan dan melepaskan tembakan. Bagaimanapun, penghuni rumah berkenaan tiada kerana menghadiri satu acara di kawasan lain.

“Penjenayah melarikan diri ke Daerah Sungai Golok, selepas melakukan serangan itu,” kata Paisarn.

Penasihat Kanan kepada Sheikhul Islam Thailand, Haji Abdul Rahman Daud bersama Panglima Tentera Wilayah 4, Lt Jeneral Paisarn Nusang pada satu majlis di Pattani hari ini (3 Mei 2025).

Sementara itu, Penasihat Kanan kepada Sheikhul Islam Thailand, Haji Abdul Rahman Daud berkata pihaknya tidak mahu berlaku perpecahan atau konfik dalam kalangan agama di Selatan Thai.

“Kami tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kekerasan… Masalah tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan kekerasan.

“Tidak kira apa aspek pun ia menjejaskan keselamatan nyawa. Orang yang tidak bersalah… Kita harus melihat dan membincangkannya bersama. Saling memberi nasihat untuk mewujudkan perpaduan,” kata beliau yang juga Presiden Persekutuan Jawatankuasa Islam Wilayah Sempadan Selatan.

Beliau juga meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap situasi di Selatan Thai dan tidak membiarkan penduduk menyelesaikan sendiri masalah berkaitan.

“Kerajaan mesti mempunyai dasar yang jelas. Kita perlu berbincang dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah tiga wilayah sempadan selatan.

“Cari cara yang betul untuk melakukannya supaya rakyat menerimanya,” katanya lagi.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading