NARATHIWAT: Tiga insiden keganasan berlaku di wilayah paling selatan (Deep South) dalam tempoh 12 jam lalu menyebabkan dua anggota Kor Pertahanan Sukarela (VDC) dan seorang anggota polis peronda sempadan (BPP) terbunuh ditembak kumpulan tidak dikenali.

Dalam tempoh sama, dua lagi anggota BPP dan seorang lagi anggota VDC cedera arah dan kini dirawat di hospital. Keadaan mereka dilapor membimbangkan.

Insiden berlaku ketika ulang tahun ke-21 Tragedi Masjid Kerisik (Krue Se) – hari tragis pertumpahan darah di mana 108 umat Islam, terbunuh, apabila pihak berkuasa Thailand menggempur masjid berkenaan pada 28 April 2004.

Seorang anggota renjer terbunuh manakala dua lagi parah selepas kenderaan dinaiki diserang dengan bom kawalan jauh di Daerah Tharto, Yala, hari ini (28 April 2025).

Bermula kira-kira jam 11.10 malam tadi (Ahad, 27 April 2025), sekumpulan individu melepaskan tembakan ke arah dua anggota VDC yang menaiki kenderaan persendirian di Ban Nipisakule, Mukim Khao Tum di Daerah Yarang, Pattani.

Serangan menyebabkan Pegawai Tadbir Unit Perlindungan Mukim Khao Tum, Usman Chijai, 30, terbunuh, manakala rakannya Muhammat Sadik Kewa cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Yala untuk rawatan lanjut.

Polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu dengan beberapa kesan tembakan di kepala. Siasatan juga menemukan lebih 20 kelongsong peluru senjata AK47 bertaburan di atas jalan.

Usman Chijai, 30, (gambar kecil) terbunuh selepas ditembak kumpulan individu tidak dikenali di Daerah Yarang, Pattani, semalam (27 April 2025).

Pada jam 12.40 pagi tadi (28 April), sekumpulan individu tidak dikenali menggunakan menembak mati seorang lagi anggota VDC, Sarjan Mejar Theerawut Phuttharan, 34 tahun, di Daerah Bannang Sata, Yala.

Kejadian berlaku di hadapan Masjid Bukit Bajo di Lebuhraya No 410, Kampung No 1, Mukim Taling Chan, Daerah Bannang Sata, ketika mangsa yang memandu kenderaan persendirian dikatakan berhenti untuk masuk ke sebuah kedai berhampiran.

Sekumpulan penyerang yang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran dikatakan melepaskan tembakan ketika mangsa keluar dari keretanya. Mereka juga membakar kenderaan berkenaan.

Difahamkan, ketika serangan itu dilakukan, sekumpulan lagi penyerang turut melepaskan tembakan ke arah pangkalan BPP di Taling Chan bagi menghalang anggota pasukan pertahanan keluar membantu Theerawut.

Sarjan Mejar Theerawut Phuttharan, 34 tahun, maut ditembak di Daerah Bannang Sata, Yala, manakala keretanya turut dibakar.

Kira-kira jam 9.34 pagi tadi pula, seorang anggota BPP maut, manakala dua lagi cedera parah apabila pikap dinaik terbalik akibat serangan bom di Daerah Tharto, Yala.

Sarjan Mejar Issaret Inthraphet meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Yala. Dua yang cedera parah dikenai sebagai Sarjan Mejar Phanuwat Wetchaphasan, dan Sarjan Mejar Monpitak Phetnui.

Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kumpulan pegawai itu menaiki pikap berperisai Toyota Vigo milik kerajaan, untuk melaksanakan misi khas.

Ketika melalui jalan Ban Sri Thanam di Mukim Than To bahan letupan buatan sendiri yang ditanam di pinggir jalan diletupkan dipercayai menggunakan alat kawalan jauh, menyebabkan pikap berkenaan melambung dan terbalik.

Deep South merujuk kepada tiga wilayah paling selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee – kembali tegang sejak 15 April lalu, khususnya setelah seorang ‘ustaz’ mati di ditembak Sungai Golok, Narathiwat.

Pangkalan operasi Kompeni Renjer 4602 di Ban Suea So, Daerah Rueso, Narathiwat diserang pada 26 April 2025 lalu.

15 April 2025
4 petang – serangan bom tepi jalan menyasarkan Unit Pertahanan Sempadan 2 di Mukim Loh Chut, Daerah Waeng, Narathiwat. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

9.15 malam – seorang penduduk kampung Romlee Karim, mati ditembak di tepi jalan di Kampung 1, Mukim Tha Kamcham, Daerah Nong Chik, Pattani.

16 April 2025
6.30 petang – Polis menerima laporan mengatakan seorang individu menggunakan pistol menembak dan mencederakan anggota VDC, Makoseng Tahe, 49, di Mukim Koh Chan, Daerah Mayo, Pattani.

18 April 2025
2.30 petang Jumaat – Polis menerima laporan seorang individu yang dipanggil ‘ustaz’ maut ditembak di Sungai Golok. Mangsa dikenali sebagai Abdulroning Lateh, 60, seorang pekerja Farmmillti Rubber Limited Partnership Ltd. Terdapat empat kesan tembakan di belakang badan.

22 April 2025
6.30 pagi – Sekumpulan individu melepaskan tembakan ke arah sebuah pikap milik seorang pegawai polis, Leftenan Wattana Chumapan, di Daerah Saba Yoi, Songkhla.

Serangan berlaku di Jalan Ban Khlong Rian kira-kira 500 meteri dari Wat Ko Aphinihan, menyebabkan seorang sami muda berusia 16 tahun yang juga anak kepada pegawai polis berkenaan, terbunuh.

Seorang lagi sami muda berusia 12 tahun, yang berasal dari Mukim Ban Ko, Daerah Phrom Khiri, Wilayah Nakhon Si Thammarat, turut cedera.

26 April 2025
9.10 malam – Empat individu menaiki dua motosikal melempar dua bom paip berturut-turut ke arah pangkalan operasi Kompeni Renjer 4602 di Ban Suea So, Daerah Rueso, Narathiwat.

Satu daripada bom jatuh di tengah padang di dalam kem dan satu lagi di hadapan pangkalan, mencederakan seorang penduduk kampung, Yusoh Jehgoh, 75.

Siasatan mendapati ketika kejadian, hujan lebat menyebabkan anggota renjer menamatkan kawalan di sekatan berhadapan kem mereka.

Pada masa itu, empat pelaku menaiki dua motosikal melalui jalan di hadapan pusat operasi itu sebelum bergerak perlahan. Dua daripada pembonceng kemudian melempar bom paip ke arah pangkalan berkenaan.

10.40 malam – Polis menerima laporan mengatakan tiga penduduk yang sedang makan di sebuah ladang sawit diserang dengan senata api, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Kejadian berlaku di Kampung No 2, Mukim Sungai Padi, Daerah Sungai Padi, Wilayah Narathiwat.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading