NARATHIWAT: Tujuh anggota Kor Pertahanan Sukarelawan (OSO) cedera dalam satu serangan bom kawalan jauh di Daerah Thung Yang Daeng di Wilayah Pattani, petang tadi (23 April 2025).

Kejadian berlaku ketika tujuh anggota terbabit menaiki sebuah pikap melintasi Jambatan Pakoo kira-kira jam 3.16 petang.

Jurucakap polis berkata walaupun serangan bom yang ditanam di tepi jalan itu tidak mengenai sasaran, semua anggota OSO terbabit mengalami kecederaan ringan.

“Bom berkenaan dipercayai menggunakan alat kawalan jauh. Sasarannya kurang tepat… tapi anggota OSO yang berada di dalam pikap berkenaan tetap mengalami kecederaan ringan.

“Mereka telah dihantar ke hospital daerah untuk pemeriksaan lanjut, manakala kawasan letupan itu ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Mereka yang cedera dikenal pasti sebagai:

  1. Nurman Yamama;
  2. Maroli;
  3. Muhamaseng Ismay;
  4. Suhaipun Youso;
  5. Masaburi, Nawe;
  6. Arthaphon Toeykaew; dan
  7. Ahama Vani.

Dalam tempoh minggu ini beberapa serangan menggunakan bom dan senjata api dilaporkan berlaku di Wilayah Narathiwat dan Pattani.

Ahad lalu (20 April), lapan pelajar tahfiz dan seorang anggota polis cedera dalam serangan bom motosikal roda tiga yang menyasarkan flat Balai Polis Mukim Khok Khian, Daerah Mueang, Narathiwat, tidak jauh dari Pantai Ban Thon – kawasan peranginan yang sedang berkembang pesat dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

Pada hari sama, dua individu menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu yang sedang makan malam di Daerah Waeng, juga di Narathiwat.

Serangan itu menyebabkan tujuh orang awam dan seorang anggota polis cedera terkena tembakan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading