
NARATHIWAT: Pihak berkuasa mengesahkan sepuluh mangsa – lapan daripadanya pelajar tahfiz berusia di bawah 15 tahun – cedera dalam serangan bom motosikal roda tiga (bom cholei) di Mukim Khok Khian, Daerah Mueang (bandar) Narathiwat, selepas Maghrib semalam (20 April 2025).
Dua lagi – seorang anggota polis dan orang awam, turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang semalam, kata jurucakap polis wilayah Narathiwat.
Menurutnya, seorang daripada mangsa iaitu pelajar tahfiz mengalami kecederaan parah dan telah menjalani pembedahan di Hospital Rajanagarindra Narathiwat.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan senarai mereka yang cedera dalam letupan itu. Mereka ialah:
- Natchamee Srimarak, 15 tahun;
- Hanani Sama, 15;
- Asmin Duere, 14;
- Akkharawin Daemyu, 14;
- Muhammad Hafiz Yapa, 11;
- Thanaporn Sangsuwan, 9;
- Mursid Srimarak, 7;
- Chalisa Sangsuwan, 7;
- Sarjan Mejar Usman Maemae, 35; dan
- Rusli Binya, 45.
Untuk rekod, tempat kejadian terletak dalam kawasan tumpuan pelancong, khususnya rakyat Malaysia. Kawasan itu terkenal dengan Pantai Ban Thon.
Jurucakap itu berkata, penyerang menggunakan motosikal roda tiga atau dikenali sebagai ‘cholei’ dalam kalangan penduduk Selatan Thai dan memakirnya di tepi tembok flat keluarga anggota polis yang terletak di belakang balai polis berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pelajar tahfiz terbabit melalui kawasan berkenaan untuk ke kelas menghafal al-Quran selepas solat Maghrib di masjid berdekatan.
“Daripada soal siasat terhadap mangsa kejadian itu, seorang individu dikatakan menunggang cholei yang dipercayai menyembunyikan bahan letupan buatan sendiri sebert 50 kilogram.
“Individu terbabit meletakkan motosikal itu di tepi tembok flat Balai Polis Khok Khian. Namun, pada masa sama terdapat sekumpulan pelajar tahfiz berjalan melewati kawasan berhampiran.
“Dia (pelaku) kemudian cuba menghalau semua pelajar terbabit supaya menjauhi tempat kejadian, tetapi tidak dipedulikan. Dia sendiri kemudian melarikan diri sebelum bom berkenaan, yang dipercayai menggunakan pemasa, meletup dan mencederakan beberapa pelajar,” katanya.
Kejadian semalam adalah serangan ke empat yang menggunakan cholei di Wilayah Narathiwat dalam tempoh Oktober 2024 hingga semalam.
Serangan pertama bermula 5 Oktober 2024 di Daerah Sungai Padi, diikuti yang kedua pada 15 Februari dan ketiga 13 April lalu ketika perayaan Songkran.
Dalam semua serangan menggunakan cholei itu, 12 anggota pasukan keselamatan dan 16 orang awam, termasuk kanak-kanak, cedera.

Sementara itu, pihak berkuasa juga mengesahkan enam orang awam dan seorang anggota polis, cedera dalam serangan di Daerah Waeng, juga di Wilayah Narathiwat, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, sekumpulan individu dikatakan melepaskan tembakan menggunakan senjata api yang biasa digunakan tentera, ke arah semua mangsa yang ketika itu sedang makan malam di Kampung Nombor 7, Mukim Waeng.
Mereka yang cedera ialah:
- Sarjan Anucha Srisuwan, 45;
- Winai Chomampai, 44;
- irach Chanthong, 40;
- Thawatchai Thipparat, 43;
- Surachai Sinanun, 49;
- Prakit Kongprasit, 39; dan
- Pradit Phothisut, 56.
Tiga daripada mereka dihantar ke Hospital Waeng, manakala selebihnya dirawat di Hospital Sungai Golok.






Leave a Reply