
NARATHIWAT: Pendakwa Raya Wilayah belum memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan penyanyi dikir barat dari Kelantan, Eda Ezrin, suami, serta empat rakannya, daripada tuduhan memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya belum menerima, sama ada, rayuan rasmi terhadap keputusan membebaskan semua tertuduh, atau permohonan bagi melanjutkan lagi tempoh mengemukakan rayuan.
Katanya, pihak pendakwa raya diberi tiga peluang untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.
“Pendakwa raya diberi tiga peluang untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan… sama seperti kes-kes dadah dan kes berkaitan keselamatan yang lain.
“Dalam kes ini (Eda Ezrin, suami dan empat rakannya) pihak pendakwa raya telah menggunakan satu peluang yang diberikan yang akan berakhir 6 Mei depan.
“Biasanya dua tiga hari sebelum tempoh itu tamat, pejabat pendakwa raya akan mengemukakan permohonan kedua untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan… yang akan berakhir pada 6 Jun.
“Demikian juga untuk permohonan ketiga yang sekiranya berlaku, maka tempohnya akan berakhir pada 6 Julai,” katanya kepada apakhabartv.com ketika dihubungi hari ini (17 April 2025).
Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari (11, 13 dan 14 Februari) membebaskan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Oleh kerana semua tertuduh adalah rakyat asing, maka mereka terpaksa tinggal di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. Berbeza jika rakyat Thailand, mereka akan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.
Penyanyi yang sohor dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu ditahan bersama suami dan rakannya dalam satu operasi oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok di sebuah hotel, pada 1 November tahun lalu.
Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata mahkamah diberitahu bahawa pendakwa raya masih mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan.
“Sekiranya pihak pendakwa raya telah mempunyai bukti dan saksi baharu yang mencukupi, mereka akan memfailkan rayuan secara rasmi tanpa perlu menggunakan peluang kedua atau ketiga.
“Setakat hari ini tidak ada… kami tidak terima apa-apa permohonnan (dari pendakwa raya)… tunggu 1, 2 atau 5 Mei ini.
“Jika sehingga waktu pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei tiada apa-apa permohonan, semua tertuduh akan dibebaskan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa Thailand juga tidak mahu mengurung semua tertuduh terlalu lama tanpa perbicaraan yang adil.






Leave a Reply