KUALA LUMPUR: Golongan gelandangan di bandaraya ini harus diberi perhatian dengan memenuhi keperluan dan membawa mereka keluar dari kemiskinan tegar bagi meningkatkan kualiti hidup.

Ketua Projek Kajian Membangunkan Kerangka Fasiliti Golongan Gelandangan di Pusat Bandar Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr. Alias Abdullah berkata masyarakat janganlah menganggap mereka beban.

“Golongan ini perlu diberi peluang, bantuan tidak sekadar memberi makanan atau pakaian, tetapi membantu mereka membina kehidupan.

Konsep “no one is left behind” perlu menjadi pendekatan dan tertumpu kepada kebajikan, kesihatan, tempat tinggal dan peluang pekerjaan, kata beliau di program hari terbuka bersama gelandangan di ibu negara 7 Jun.

“Memang sukar untuk dihapuskan isu gelandangan ini kerana kemiskinan sentiasa wujud, tetapi kita perlu membantu mereka meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Yang penting adalah memastikan golongan ini mendapat sumber makanan, penjagaan kesihatan serta kemudahan asas seperti tempat mandi dan pakaian, tambah Dr Alias.

Keprihatinan masyarakat adalah penting di dalam usaha ini. Sekurang-kurangnya, golongan ini mendapat pakaian hasil sumbangan dan pada masa yang sama, perlu memikirkan pendekatan jangka panjang untuk mengubah cara hidup mereka supaya mampu berdikari suatu hari nanti.

Dr Alias mencadangkan agar diwujudkan lebih banyak hotspot yang menyediakan kemudahan asas agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih teratur.

Beliau menegaskan matlamat program-program seperti ini dapat melahirkan individu dari kalangan mereka yang berjaya, sekurang-kurangnya menjadi kaunselor untuk meneruskan usaha murni ini.

“Usaha ini bukan sekadar memberi bantuan jangka pendek tetapi lebih kepada keinginan untuk mengubah kehidupan mereka untuk jangka panjang,” kata Dr Alias lagi.

Di majlis tersebut, golongan gelandangan yang hadir dihidangkan makanan serta mendapat khidmat nasihat dari kaunselor.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading