NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat wanita asal Kelantan, Eda Ezrin, terpaksa tinggal di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi mulai esok, 6 April 2025.

Ini kerana mahkamah wilayah ini memberi kebenaran kepada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat mengesahkan pendakwa raya telah membuat permohonan supaya tempoh mengemukakan permohonan rayuan dilanjutkan sebulan lagi.

“Mengikut rekod di dalam sistem komputer kami (mahkamah), pihak pendakwa raya telah memfailkan permohonan itu pada 2 April lalu (Rabu).

“Ia mencatatkan… pendakwa raya memohon supaya tempoh mengemukakan rayuan, yang sepatutnya berakhir esok, 6 April ini, dilanjutkan sebulan lagi.

“Pendakwa raya memberi alasan untuk mencari lebih banyak bukti bagi mengaitkan penyanyi itu beserta lima lagi tertuduh dengan dakwaan memiliki secara bersama untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine,” katanya kepada Apa Khabar TV (apakhabartv.com) ketika dihubungi hari ini (5 April 2025).

Sekiranya mahkamah membenarkan rayuan pendakwa raya, maka kes Eda Ezrin dan lima tertuduh lain akan dibicarakan di Mahkamah Rayuan Narathiwat pula.

Untuk rekod, Thailand mempunyai tiga peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tahap Pertama; Mahkamah Rayuan; dan Mahkamah Agung.

Selain itu, Raja Thailand pula mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan – sama ada mengurangkan tempoh pemenjaraan atau membebaskan terus – kepada mana-mana banduan yang telah menjalani sekurang-kurangnya tiga tahun penjara.

Pada 6 Mac lalu, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat rakannya dibebaskan daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Peguam Thailand yang mewakili tertuduh, Soffian Abdul Aziz berkata, bagaimanapun berkata semua tertuduh terpaksa tinggal di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Menurutnya, pihak pendakwaan diberi tempoh antara sebulan hingga empat bulan untuk mengemukakan rayuan berkaitan keputusan berkenaan.

Susulan itu, Eda Ezrin, suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri di dalam penjara berkenaan.

Apa Khabar TV sebelum ini telah beberapa kali bertemu dan berbual dengan Eda Ezrin ketika berada di Penjara Pusat Narathiwat.

Kali terakhir ialah pada majlis Iftar Ramadan melibatkan 400 banduan di penjara berkenaan pada 22 Mac lalu, yang turut dihadiri Menteri Kehakiman Thailand, Thawee Sodsong.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Latihan Penjara Pusat Narathiwat, Somsak Paddeang ketika dihubungi berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai Eda Ezrin dan tertuduh lain akan dibebaskan.

“Kami juga tidak tahu mengenai urusan pendakwa raya dan mahkamah. Itu urusan masing-masing yang tidak dimaklumkan kepada kami.

“Sebenarnya pihak penjara hanya akan dimaklumkan sejam sebelum mana-mana banduan perlu dibebaskan. Bila mereka (enam tertuduh itu) akan dibebaskan… sekarang ini kita tidak tahu,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading