
SELATAN THAI: Penjara Pusat Wilayah Narathiwat menafikan berlaku kejadian ‘buli’ melibatkan penyanyi dikir barat wanita dari Kelantan, Eda Ezrin, yang kini ditahan di penjara itu.
Ketua pengarah penjara itu, Komander Surin Chanthep berkata, setakat yang beliau tahu, Eda Ezrin adalah seorang yang ramah dan mudah dibuat kawan.
Menurutnya, beliau tidak pernah menerima aduan atau laporan daripada banduan mengatakan mereka dibuli oleh sesama banduan atau kakitangan penjara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kononnya Eda Ezrin atau nama penuhnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, mengadu kepada keluarganya bahawa dia dihidangkan nasi berkuah dan ikan goreng yang telah tinggal tulang, seolah-olah sisa makanan.
Sebelum ini, Penjara Pusat Narathiwat menjadi perhatian media dan rakyat Malaysia setelah penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu ditahan di penjara berkenaan sementara menunggu perbicaraan kes dadah.
Kehadirannya dalam beberapa aktiviti di dalam penjara itu sentiasa mencuri perhatian.
Ini termasuk menerima layanan VIP ketika majlis berbuka puasa baru-baru ini apabila duduk semeja dengan Menteri Kehakiman Thailand, Thawee Sodsong dan kenamaan lain.

Ditanya kemungkinan layanan istimewa yang diterima oleh Eda Azrin mungkin membuatkan banduan wanita lain atau kakitangan penjara itu sendiri cemburu atau iri hati hingga mahu membulinya, Surin menjelaskan semua banduan dilayan sama rata.
“Dia (Eda Ezrin) tak mengadu apa-apa… semuanya baik. Saya melihat dia seorang yang ramah dan suka berkawan. Tidak mungkin ada yang mahu membulinya.
“Tapi mungkin dia mengalami sedikit tekanan (stress) setelah terpaksa tinggal lebih lama dalam penjara ini, sementara menunggu rayuan oleh pendakwa raya,” katanya kepada apakhabartv.com.
Ketika dimaklumkan dakwaan itu kepadanya dalam pertemuan di penjara berkenaan semalam, Surin terkejut dan pantas mengarahkan Pengarah pembangunan penjara, Somsak Paddeang dan pengurus zon masakan, Zulkifli Diyok, melakukan siasatan segera, termasuk menu yang dihidangkan kepada banduan.
“Memang betul ada hidangan berkuah iaitu sayur keng liang… ada ikan juga… tapi itu adalah menu biasa yang telah dihidangkan sejak enam bulan lalu.
“Pada 6 April lalu, saya sendiri bertemu dengan keluarga Eda Ezrin… mereka tidak memaklumkan apa-apa kepada saya,” katanya sambil menjelaskan keng liang itu antara masakan terkenal di Selatan Thai.
Apakhabartv.com kemudian dibenar berbual dengan Eda Ezrin menerusi telefon dari bilik Surin dan bilik kawalan Zon 8 (penjara wanita).
Eda Ezrin menjelaskan dia tidak memberitahu perkara sedemikian, sebaliknya ia adalah salah faham keluarga.
Mengulas lanjut, Surin berkata, Penjara Pusat Narathiwat menempatkan lebih 3,000 banduan yang diawasi oleh 90 kakitangan.
“Tapi tidak semua kakitangan yang boleh mengawasi mereka… ada pegawai yang bertugas di pejabat… ada yang bercuti. Tapi kami sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan banduan,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Eda Ezrin dibebaskan atau tuduhan bersama memiliki untuk menjual 1,059 biji pil methamphetamine (pil kuda), setelah ditahan di Sungai Golok tahun lalu.
Walaupun dibebaskan, dia bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, perlu tinggal di penjara itu sementara menunggu rayuan oleh pendakwa raya.
Mereka sepatutnya dibebaskan 6 April lalu apabila tempoh mengemukakan permohonan rayuan tamat. Namun, pendakwa raya telah mengemukakan permohonan lanjutan bagi memfailkan rayuan itu pada 2 April.




Leave a Reply