
NARATHIWAT (Selatan Thai): “Memanglah saya berharap sangat-sangat dapat berhari raya bersama keluarga di rumah.”
Demikian kata Eda Ezrin, penyanyi sohor irama dikir barat dari Kelantan, yang kini masih menjadi ‘orang tahanan’ di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Walaupun Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskannya bersama suami dan empat lagi rakannya, mereka kekal ditahan di penjara berkenaan, sementara menunggu pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan.

Mengikut peraturan di Thailand, warga asing tidak dibenar diikat jamin sementara menunggu rayuan oleh pendakwa raya. Ini termasuk dalam kes Eda Ezrin, suami dan rakan-rakannya.
Eda Ezrin perlu menunggu sehingga selewat-lewatnya 7 April depan iaitu tempoh akhir pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan mereka daripada tuduhan bersama memiliki dan merancang untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine (pil kuda).
Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di penjara berkenaan semalam, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, turut didampingi rakannya, Nur Aida Mamat, 33.
Kedua-duanya duduk semeja dengan Menteri Kehakiman Thailand, Lt Kolonel Polis Thawee Sodsong; Presiden Pusat Pentadbiran Wilayah Narathiwat, Kuseng Yawohasan; Ahli Parlimen Narathiwat (kawasan 5), Kamonsak Leewamoh @ Wan Johan; dan beberapa kenamaan lain.

Eda Ezrin juga didampingi penyanyi terkenal Thailand, Metee Labanoon, yang hadir sebagai tetamu jemputan. Kedua-duanya dikatakan pernah berduet di Kelantan sebelum ini.
Pada majlis itu, 400 banduan lelaki dan wanita diraikan. Hadir sama, Komander Penjara Pusat Narathiwat, Surin Chanthep.
Bercerita lebih lanjut kepada Apa Khabar TV (apakhabartv.com), Eda Ezrin yang kelihatan ceria berkata, sehingga kini dia tidak dimaklumkan sama ada pendakwa raya telah mengemukakan rayuan di mahkamah atau sebaliknya.
“Saya belum dimaklumkan… tempoh untuk kemuka rayuan akan tamat awal bulan depan.
“Cuma saya amat berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan.

“Rasa-rasanya kami akan sambut hari raya di sini (penjara).
“Apa pun saya bersyukur kerana telah dibebaskan… gembira sangat… syukur kepada Allah.
“Tolong sampaikan salam buat semua, termasuk peminat saya… insya-Allah lepas keluar dari sini saya akan teruskan karier sebagai penyanyi,” katanya reda menyambut raya di dalam penjara.
Eda Ezrin juga berkata dia meneruskan ibadat di bulan puasa ini dengan banyak membaca al-Quran selain solat tarawih bersama tahanan lain.






Leave a Reply