
SELATAN THAI: Sembilan anggota Unit Gerakan Khas Polis Wilayah Pattani cedera dalam dua letupan bom berturut-turut di Daerah Mae Lan, pagi tadi (14 Mac 2025).
Kejadian ini adalah serangan bom terbaharu di Selatan Thai, selepas penyerang bermotosikal melempar bom ke arah pusat pemeriksaan di Daerah Kok Pho, Pattani pada 10 Mac lalu, dua hari selepas serangan ganas di Pusat Pentadbiran Daerah Sungai Golok di Wilayah Narathiwat.
Dalam serangan di Kok Pho, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, tetapi kejadian di Sungai Golok pada 8 Mac lalu mengorbankan dua anggota pasukan sukarelawan pertahanan dan mencederakan 10 yang lain.
Sumber-sumber berkata, kedua-dua bom itu ditanam di pangkal dua tiang elektrik di tepi jalan Mukim Muang Tia, Mae Lan, yang menyasarkan anggota pasukan keselamatan Thailand.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi tadi ketika anggota Operasi Khas 22 Pattani terbabit menggunakan tiga motosikal dan sebuah kenderaan berperisai menjalankan tugas mengawal keselamatan guru sekolah.
Menurutnya, ketika anggota polis terbabit tiba di tempat kejadian, penyerang dipercayai meletupkan bom berkenaan menggunakan alat kawalan jauh.
“Dua letupan kuat itu mencederakan sembilan anggota polis berkenaan yang kemudian dihantar ke Hospital Mae Lan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sembilan anggota polis yang cedera ialah:
- Sarjan Mejar Sahasawat Phonsang;
- Sarjan Mejar Thaweechai Chumuang;
- Sarjan Mejar Wichai Kaewbandan;
- Sarjan Mejar Thitidet Raksakun;
- Sarjan Mejar Samran Phaijitchinda;
- Sarjan Mejar Phanuwat Pankaew;
- Sarjan Mejar Natthaphat Chitman;
- Sarjan Mejar Nopparat Maneerat; dan
- Sarjan Mejar Chanon Yotkhwan.






Leave a Reply