
YALA: Polis Thailand mengesahkan 17 pelaku terbabit dalam serangan dan pengeboman di Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok, Narathiwat, 8 Mac lalu, yang menyebabkan dua anggota kor sukarelawan pertahanan (VDC) terbunuh dan 10 lagi cedera.
Komander Polis Wilayah 9, Lt Jeneral Pol Piyawat Chalermsri mendedahkan kebanyakan pelaku terbabit sudah dikenal pasti dan gerakan memburu mereka masih dijalankan.
Untuk rekod, Polis Wilayah 9 bertanggungjawab ke atas tujuh wilayah di Selatan Thai membabitkan Narathiwat; Songkhla; Satun; Trang; Pattani; Phatthalung; dan Yala, serta kawasan Tasek Songkhla.

Bercakap pada sidang media di Pusat Gerakan Polis Wilayah Yala hari ini (12 Mac 2025), beliau berkata sesetengah daripada pelaku mempunyai waran tangkap kerana disyaki terbabit dalam beberapa kejadian jenayah.
“Semuanya 17 pelaku terlibat dalam kejadian di Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok pada Sabtu, 8 Mac lalu.
“Ramai pelaku yang melakukan jenayah itu mempunyai waran tangkap atas kesalahan berkaitan keselamatan. Arahan sudah dikeluarkan untuk memgesan mereka… ada kemajuan besar dalam siasatan kami,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, dua anggota VDC terbunuh, manakala 10 lagi sukarelawan dan orang awam cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dan meletupkan bom kereta di pejabat daerah berkenaan kira-kira jam 7.10 malam.
Mengulas keadaan semasa di Selatan Thai, Piyawat berkata, keseluruhan wilayah sempadan selatan (Deep South) kini mengalami insiden berterusan.
“Saya telah mengarahkan integrasi pasukan supaya bersiap sedia di semua kawasan terutama pegawai yang menjadi sasaran insiden itu,” katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan beberapa agensi keselamatan di Selatan Thai telah mengadakan mesyuarat bagi menyelaras pelan pertahanan, khususnya di dalam ‘bandar ekonomi’, bagi membina keyakinan rakyat berhubung keadaan keselamatan.
‘Deep South’ merujuk kepada tiga wilayah ‘panas’ di Selatan Thai iaitu Pattani; Yala; dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee. Di kawasan ini kerap berlaku serangan oleh kumpulan bersenjata.






Leave a Reply