
SELATAN THAI: Satu lagi serangan bom terhadap anggota yang bertugas di pusat pemeriksaan dan sekatan dilaporkan berlaku malam ini (10 Mac 2025).
Serangan bom sehari selepas kira-kira 10 anggota kumpulan bersenjata menyerang Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok, Narathiwat itu berlaku di Wilayah Pattani, pula.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 7 malam tadi dengan penyerang menunggang motosikal sebelum melempar bom ke arah pusat pemeriksaan di jalan utama To Tol di Daerah Kok Pho, Pattani.
Maklumat awal mengatakan tiada anggota pasukan sukarelawan pertahanan yang cedera atau terbunuh.
Sementara itu, polis mengesahkan seorang anggota kor pertahanan sukarelawan (VDC) terbunuh apabila diserang sekurang-kurangnya lima lelaki bersenjata AK47, pistol dan M16.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi Ban Kadu Do, Mukim Saae, di Daerah Krong Pinang, Yala.
Katanya, mangsa, Sarjan Mejar Saudi Maha, 45, maut di hadapan pintu rumahnya dengan kesan tembakan di badan dan kepala.

“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan tembakan di badan dan kepala.
“Polis juga menemukan kelongsong peluru AK-47, M16, dan sejumlah peluru 9 mm,” katanya sambil menjelaskan berdasarkan maklumat terdapat sekurang-kurangnya lima penyerang melepaskan tembakan.
Menurutnyam hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal menuju ke kampung lain seorang diri pada tengah malam sebelum kejadian.
Katanya, sekumpulan penjenayah menyelinap masuk di hadapan rumahnya dan membakar sebuah pikap.
“Saudara-mara menghubunginya memaklumkan kejadian itu sebelum mangsa kembali dan melihat kerosakan. Mangsa bergegas pulang ke kediamannya untuk memeriksa kerosakan.
“Terdapat tidak kurang lima penjenayah bersembunyi berhampiran kediaman mangsa sebelum menyerangnya yang tiba kemudian. Mereka menembak mangsa hingga rebah dan meninggal dunia.
“Kumpulan bersenjata terbabit turut melarikan sepucuk pistol milik mangsa. Punca kejadian masih disiasat, tetapi pihak berkuasa percaya ia dilakukan kumpulan pemberontak yang sebelum ini telah memberi amaran kepada kakitangan kerajaan berbangsa Melayu supaya berhenti kerja,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan objek mencurigakan menyerupai bom di tiga tempat berasingan di sekitar bandar Yala.
Objek pertama dikesan diikat pada tiang elektrik di persimpangan Paramitha, ke persimpangan Pong Yu Rai, Kampung No 7, Mukim Budi, Daerah Mueang, manakala objek kedua di kesan di atas jambatan berhampiran.
Objek ketiga juga diikat pada tiang elektrik kira-kira 40 meter dari jambatan berkenaan.






Leave a Reply