
NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan bom yang dipasang pada sebuah kereta yang diletupkan di Pejabat Pentadbiran Daerah Sungai Golok, kelmarin (Sabtu, 8 Mac 2025), adalah seberat 100 kilogram.
Pengesahan itu dibuat oleh Unit Pelupusan Ordnance Letupan (EOD) dan Bahagian Sains Forensik Wilayah Narathiwat yang menyiasat tempat kejadian diketuai Timbalan Komander Polis Wilayah Narathiwat, Kolonel Polis Suthon Sukwises, semalam.
Pada masa sama, pasukan siasatan juga menyifatkan letupan itu sebagai sempurna berdasarkan keadaan kereta yang hancur berkeping-keping dan bertaburan dalam radius 100 meter.

Jurucakap polis Narathiwat berkata, bom berkenaan dimasukkan dalam sebuah tong gas dan disembunyikan dalam kereta sedan berwarna gangsa.
“Kereta itu dilengkapi dengan alat letupan buatan sendiri yang mengandungi silinder gas memasak seberat dan diletupkan menggunakan pemancar radio.
“Letupan itu dianggap sangat lengkap… kereta itu hancur berkeping-keping dan bertaburan pada radius 100 meter, menyebabkan kerosakan besar kepada beberapa bangunan pejabat daerah,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati kereta itu dibeli secara dalam talian di Songkhla.
“Kereta Toyota gangsa itu dijual beli dalam Facebook, dengan deposit yang dibuat dalam talian. Bayaran di buat di Wilayah Songkhla.
“Polis masih menyiasat butiran jual beli itu untuk mengembangkan siasatan kepada pembeli, yang mungkin membawa kepada pelaku,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pikap yang digunakan kumpulan bersenjata itu pula adalah jenis Isuzu berwarna gangsa tanpa plat.
Katanya, selepas serangan itu, pelaku meletakkan kenderaan di ladang sawit di Mukim Riko, Daerah Sungai Padi, Narathiwat.
Sementara itu, katanya, kumpulan bersenjata juga meletakkan bahan letupan di dua tempat lain bagi mengalih perhatian pihak berkuasa dan menghalang bantuan segera dihantar ke pejabat daerah ketika serangan dilakukan.
Menurutnya, kumpulan berenjata terbabit meletakkan bom yang masing-masing seberat 20 kilogram di Persimpangan Arkan dan di Jalan To Lue Be di Sungai Golok iaitu kira-kira tiga kilometer dari pejabat daerah berkenaan.
“Siasatan mendapati pelaku meletupkan bom menggunakan dua radio bagi mengalih perhatian pegawai untuk membantu pasukan ke Pejabat Daerah Sungai Golok. Tiada siapa yang cedera dalam kedua-dua letupan itu,” katanya.

Selain itu, katanya, satu letupan berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam di Daerah Tak Bai yang bersempadan dengan Sungai Golok.
“Pelaku meletakkan bahan letupan buatan sendiri dalam bekas yang tidak diketahui berhampiran tiang elektrik di tepi jalan Sungai Golok-Tak Bai berdekatan Ban Sipo, Tak Bai. Letupan itu menyebabkan dua tiang elektrik senget, tetapi ia tidak tumbang,” katanya.
Pada hari sama, pelaku menggunakan bahan letupan buatan sendiri untuk mengebom tiang elektrik di Jalan Sungai Padi-Chae Airong di Ban Taling Sung, di Daerah Sungai Padi, Narathiwat, menyebabkan dua tiang elektrik patah.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Narathiwat, Lt Kolonel Trakun Thotham melawat tujuh daripada 11 mangsa yang cedera dalam letupan dan serangan di pejabat daerah berkenaan, semalam.
Mereka yang masih dirawat di hospital ialah:
- Songkran Yusoh, 19;
- Maslan Arong, 32;
- Ratchaniwan Chuaythong, 47 (wanita);.
- Jiraphat Avaesuemae, 18;
- Wasulkeefli Waji, 34;
- Madari Taye, 38; dan
- Narongchai Ratrungsuntree, 52.
Dua lagi yang cedera ditempatkan di unit rawatan rapi ialah Thawatchai Chaisri, 42, dan Aphichai Buttachin, 44.
Sebahagian daripada yang cedera adalah anggota Sukarelawan Pertahanan Wilayah (TDV), termasuk Isuwan Maming, yang dihantar ke Hospital Hat Yai, dan Kamthon Wongnakorn, dihantar ke Hospital Yala.






Leave a Reply