
SELATAN THAI: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kejadian di mana sebuah kenderaan milik Majlis Perbandaran Rueso di Wilayah Narathiwat meletup tengah hari semalam (6 Februari 2025), disebabkan bom buatan sendiri.
Siasatan pihak berkuasa mendapati bom buatan sendiri seberat lima kilogram itu telah dipasang di bahagian bawah sebuah lori tayar enam yang dipakir di dalam garaj bersebelahan pejabat majlis perbandaran berkenaan untuk dibaiki.
Ini adalah serangan bom ketiga di Wilayah Narathiwat yang melibatkan bahan letupan dipasang di bawah kenderaan sama ada milik pegawai kerajaan atau kerajaan.

Terdahulu pada 4 Februari lalu, dua letupan hampir serentak melibatkan pikap milik seorang sarjan polis daerah Sri Sakhon dan kereta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Yingo.
Polis mengesahkan kedua-dua kejadian itu melibatkan bom yang dipasang di bawah kenderaan terbabit. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Menurut pihak berkuasa, kejadian semalam yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
Kejadian semalam berlaku pada hari pertama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Rueso yang baharu, Amir Sarikhan, memulakan tugas setelah menggantikan Wichet Thaithongnum, yang ditembak mati oleh kumpulan bersenjata di bilik mesyuarat Hand in Hand Co., Ltd. pada 7 November tahun lalu.

Unit Pemusnah Bom dan Bahagian Sains Forensik Narathiwat yang melakukan siasatan mengesahkan kejadian itu disebabkan bahan letupan.
Siasatan juga mendapati lori berkenaan dihantar untuk dibaiki oleh kakitangan unit kejuruteraan. Setelah dibaiki kenderaan itu diletakkan digaraj berkenaan untuk proses penyerahan.
Pihak berkuasa percaya penjenayah meletakkan bahan letupan buatan sendiri di dalam kotak logam sebelum dipasang kepada lori berkenaan. Sekurang-kurangnya empat kenderaan lain turut rosak dalam kejadian itu.
Susulan tiga kejadian seperti itu, pihak berkuasa di tiga wilayah Selatan Thai – Narathiwat, Pattani dan Yala – diarah meningkatkan pemeriksaan terhadap semua kenderaan yang memasuki pekarangan pejabat kerajaan.
Pihak berkuasa percaya kumpulan bersenjata yang aktif di tiga wilayah berkenaan menukar taktik dengan memasang bom pada kenderaan pegawai kerajaan untuk mencetuskan kebimbangan di pejabat-pejabat kerajaan yang menjadi sasaran mereka.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika bercuti ke Thailand dengan tidak mengunjungi lokasi yang berisiko.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ia susulan beberapa siri serangan dan letupan bom di Narathiwat.
“Orang ramai sangat suka ke Thailand kerana menganggap seperti melancong dan sudah jadi tradisi.
“Tapi ketika di sana (Thailand), saya minta agar berhati-hati, banyak letupan (bom) berlaku dan kita tidak tahu bila serta di mana akan terjadi.
“Saya nasihatkan agar berwaspada malah jangan kunjungi tempat berisiko,” katanya kelmarin.






Leave a Reply