
SELATAN THAI: Dua letupan melibatkan dua kenderaan milik pegawai polis dan pegawai daerah mencemaskan kakitangan kerajaan dan orang ramai di Daerah Sri Sakhon dan Daerah Yingo di Wilayah Narathiwat, hari ini (4 Februari 2025).
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian yang dipercayai akibat letupan bom.
Dalam kejadian pertama, sebuah pikap milik seorang sarjan yang diletakkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Sakhon meletup kira-kira jam 9 pagi tadi.
Polis mengesahkan letupan itu disebabkan bom buatan sendiri seberat dua kilogram yang dipasang di bawah pikap berkenaan.
Siasatan awal mendapati pikap berkenaan Sarjan Mejar Zulkifli Jehmama, 32, pegawai polis di Balai Polis Sri Sakhon.
Jurucakap polis berkata, pada malam semalam (3 Februari) Zulkifli meletak pikap berkenaan di tempat letak kereta rumahnya.



Katanya, kira-kira jam 7:30 pagi, Zulkifli memandu kereta keluar dari rumahnya untuk menghantar anaknya ke Sekolah Sri Sakhon Witthaya dan isterinya ke Hospital Sri Sakhon.
“Beliau kemudian memandu ke tempat kerja di Balai Polis Sri Sakhon, dan meletakkan pikap berkenaan di tempat letak kereta balai polis. Pada kira-kira jam 9 pagi, satu letupan berlaku di bahagian belakang pikap berkenaan,” katanya.
Letupan kuat itu juga menyebabkan beberapa kenderaan lain berhampiran turut rosak.


Sementara itu, dalam satu kejadian lain kereta pegawai daerah Yingo meletup ketika diletakkan di hadapan pejabat daerah berkenaan kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat daerah berkenaan letupan itu dipercayai akibat bom yang dipasang di bahagian bawah kereta berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang mengumpul bukti untuk menyiasat sama ada kejadian itu disebabkan letupan bom atau kerosakan pada kereta terbabit.






Leave a Reply