
NARATHIWAT (Selatan Thai): Empat lelaki bersenjata api menembak mati seorang pegawai kanan kerajaan dalam satu serangan terancang di Daerah Rueso di sini, semalam.
Wichet Thaithongnum, 55, Presiden Majlis Perbandaran Rueso di wilayah Narathiwat maut di tempat kejadian selepas terkena 19 daripada 21 das tembakan – dipercayai menggunakan M16 – yang dilepaskan terhadapnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi.
Mangsa yang juga seorang pengusaha kilang pakaian di daerah berkenaan, ketika kejadian dilaporkan sedang berbincang dengan tiga lagi kakitangannya di bilik mesyuarat Hand in Hand Partnership Limited di Rueso.
Bagaimanapun, penyerang yang berpakaian seperti wanita Muslim tidak menyerang kakitangan lain.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penyerang sudah mengetahui di mana mangsa berada ketika itu dan melarikan diri dengan dua buah motosikal.
Pusat Pemerintahan Polis Wilayah 9 berpendapat ada empat motif serangan iaitu pemberontakan, perniagaan, peribadi, dan politik.
Bagaimanapun, mangsa berniaga dan berpolitik, faedah daripada perniagaan tidak bertentangan dengan mana-mana kumpulan, terutama gerakan pemisah yang diketahui aktif di Daerah Rueso dan kawasan berhampiran.
Superintendan Ibu Pejabat Polis Rueso, Pol Kolonel Supachai Suphakitcharak bersama unit pemusnah bom dan unit operasi khas polis wilayah Narathiwat serta unit forensik menemukan kelongsong peluru M16 di tempat kejadian.
Komander Polis Wilayah 9, Pol Lt Jeneral Piyawat Chalermsri berkata, pihaknya menyiasat pelbagai kemungkinan motif di sebalik serangan itu.
“Kami kini memberi kepentingan kepada semua motif, termasuk isu politik walaupun sudah lama tiada ahli politik tempatan ditembak di Wilayah Narathiwat,” katanya.
Wichet Thaithongnum atau lebih dikenali sebagai ‘Mr Arm’ beragama Kristian menjadi Presiden Majlis Perbandaran Rueso sejak dua penggal lalu dan mesra dengan penduduk Islam serta Buddha.
Mangsa dikatakan banyak membantu penduduk sekitar, termasuk mendirikan kilang dan mengambil pekerja kebanyakannya umat Islam tempatan.
‘Mr Arm’ juga adalah Presiden Persatuan Sukan Wilayah Narathiwat; Pengarah Pusat Latihan Bola Tampar Sempadan Selatan; dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Komuniti Narathiwat.






Leave a Reply