
SELATAN THAI: Seorang anggota polis berpangkat leftenan dilaporkan terbunuh, manakala tiga rakannya cedera parah dalam satu lagi serangan bom di jalan utama Pattani-Hat Yai di Daerah Nong Chik di Wilayah Pattani, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi berlaku berhampiran Persimpangan Son Yang di Lebuh Raya 43 Pattani-Hat Yai, tidak jauh dari sebuah stesen minyak.

Kekuatan letupan itu mencederakan beberapa individu. Laporan awal menyatakan Leftenan Polis Anucha Khwanthong-on terbunuh dan tiga lagi yang sedang melakukan rondaan cedera.
Pihak berkuasa telah menghantar Unit Pemusnah Bom dan Bahagian Forensik serta menutup laluan itu untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, serangan bom pernah berlaku di stesen minyak berkenaan pada malam 17 Ogos 2022.

Dalam kejadian itu, penyerang mengarahkan orang ramai keluar dari stesen minyak berkenaan setelah meletakkan sebuah kenderaan berhampiran pam, sebelum meletupkannya.
Letupan itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan besar serta mencederakan beberapa individu.
Sekurang-kurangnya 16 lagi serangan bom dilaporkan berlaku pada malam 17 Ogos itu yang kebanyakannya melibatkan stesen minyak dan kedai serbaneka, dengan sembilan di Wilayah Narathiwat; Wilayah Yala (enam); dan Wilayah Pattani (dua).

Serangan di Pattani pagi tadi adalah yang keempat dalam tempoh seminggu ini di Selatan Thai.
Terdahulu tiga serangan bom yang dipasang pada kereta dan kenderaan milik kerajaan dan kakitangannya berlaku di di Wilayah Narathiwat pada 4 dan semalam (6 Februari 2025).






Leave a Reply