NARATHIWAT: Lebih 500 penduduk dari lima kampung di Mukim Sri Banphot, Daerah Sri Sakhon di sini, berkumpul membantah keganasan dilakukan pihak tertentu yang semakin meningkat di Selatan Thai, semalam (22 Januari 2025).

Perhimpunan yang juga disertai pelajar sekolah turut melakukan solat hajat memohon keamanan di daerah berkenaan. Solat hajat dan perhimpunan itu diadakan di Sekolah Polis Peronda Sempadan (BPP).

Untuk rekod, sekolah berkenaan bukan pusat latihan polis, sebaliknya ia adalah sekolah biasa. Terdapat 12 sekolah BPP yang ditubuhkan di tiga wilayah di Selatan Thai.

Solat hajat memohon keamanan dan keganasan dihentikan diadakan semalam setelah dua beranak pegawai kanan polis dibunuh di Daerah Sri Sakhon, Narathiwat pada 14 Januari lalu.

Perhimpunan semalam diadakan susulan pembunuhan dua beranak pegawai kanan BPP yang bertugas di sekolah berkenaan dibunuh pada 14 Januari lalu.

Dalam tragedi itu, Leftenan Kolonel Polis Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya Leftenan Dome Chuaythewarit, 35, kedua-duanya beragama Islam, terbunuh akibat tembakan di kepala setelah pikap dinaiki dibom di Jalan Si Sakhon – Lubo Yuring, berdekatan Ban Ai Kuedae, Mukim Banphot, Daerah Si Sakhon.

Dalam perhimpunan bermula jam 10 pagi semalam, penduduk turut membawa sepanduk menggesa keganasan dihentikan serta-merta, sambil berdoa kepada Allah supaya pegawai kerajaan serta penduduk dilindungi.

Lebih 500 penduduk Mukim Sri Banphot, Daerah Sri Sakhon, Narathiwat menyertai perhimpunan membantah keganasan di kawasan berkenaan semalam (22 Januari 2025).

Antara lain sepanduk menyatakan ‘Penduduk Sri Banphot inginkan keamanan’; ‘Penduduk Sri Banphot menolak keganasan’; serta pesanan supaya keganasan, pengeboman dan tembakan dihentikan.

Dengan suara menggeletar dan menangis, wakil guru sekolah berkenaan turut menyampaikan ucapan sambil mengenang jasa baik kedua-dua beranak pegawai kanan polis terbabit.

Wakil guru sekolah Polis Peronda Sempadan Ban Tuengor berucap dalam perhimpunan membantah keganasan di Sri Sakhon, semalam (22 Januari 2025).

Pelajar sekolah yang menyertai perhimpunan itu juga menulis pesanan serta kenangan mereka dengan kedua-dua beranak itu, di atas sepotong kertas berbentuk hati.

Sementara itu, pihak berkuasa melancarkan gerakan besar-besaran melibatkan pasukan khas polis dan tentera bagi memburu kumpulan bersenjata diketuai Abdullah Bula yang dipercayai terbabit dalam serangan terhadap dua beranak berkenaan.

Tentera Thailand melancarkan gerakan memburu kumpulan bersenjata di kawasan berbukit di Wilayah Narathiwat dan Songkhla.

Kumpulan terbabit yang disyaki turut terlibat dalam pembunuhan seorang anggota sukarelawan wanita di Dusun Nyior, Chanae, dipercayai bersembunyi di kawasan berbukit antara Daerah Channa di wilayah Songkhla dan Sri Sakhon.

Dalam serangan terhadap dua beranak pegawai kanan polis itu, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan bom, pistol dan senjata api M16.

Komander Rejimen Renjer ke-49, Lt Kol Pasawi Pochadha dipetik sebagai berkata rejimen itu kini mengintegrasikan kerjasama tiga pihak iaitu tentera, polis dan penduduk kampung bagi memastikan keamanan di Mukim Sri Banphot.

Menurutnya, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk mengumpul maklumat bagi menangkap pelaku keganasan.

“Dengan kerjasama daripada pemimpin tempatan, seperti penghulu, ketua kampung, dan penduduk, kita berharap mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan akan ditahan,” katanya.

One response to “Selatan Thai: Solat hajat mohon keamanan setelah dua beranak pegawai kanan polis beragama Islam dibunuh di Narathiwat”

Leave a Reply

Trending