
NARATHIWAT: Dua beranak yang merupakan anggota Polis Peronda Sempadan (BPP) Thailand terbunuh dalam satu serangan bom buatan sendiri dan tembakan oleh kumpulan bersenjata di wilayah ini pagi tadi (14 Januari 2025).
Leftenan Kolonel Polis Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya Leftenan Dome Chuaythewarit, 35, terbunuh akibat tembakan di kepala setelah pikap dinaiki dibom di Jalan Si Sakhon – Lubo Yuring, berdekatan Ban Ai Kuedae, Mukim Banphot, Daerah Si Sakhon, Narathiwat.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika dua beranak itu yang beragama Islam, menaiki pikap BPP dalam perjalanan untuk membeli bahan binaan untuk membaiki reban ayam.

Siasatan awal polis menunjukkan pikap dinaiki dua beranak itu melalui tempat kejadian sebelum berlaku letupan yang menyebabkan kenderaan terbabit melambung dan terbalik sejauh kira-kira 20 meter.
Pasukan penyiasat menemukan mayat Suwit yang memakai kemeja-T berwarna ungu di tepi jalan dengan kesan tembakan di kepala dan luka akibat serpihan bahan letupan.
Manakala, anaknya, Dome ditemukan di bahagian depan kereta juga dengan kesan tembakan di kepala. Senjata api kedua-dua mangsa turut dilarikan kumpulan penjenayah terbabit.

Polis percaya kedua-duanya merangkak keluar dari pikap berkenaan, sebelum diserang oleh kumpulan bersenjata yang bersembunyi di dalam hutan berhampiran.
Pegawai penyiasat juga menemukan lubang sedalam kira-kira satu meter dan dua meter lebar akibat letupan berkenaan. Turut ditemukan ialah kabel elektrik merentangi dari jalan ke hutan berhempiran.
Kumpulan bersenjata terbabit dipercayai menggunakan 20 kilogram bahan letupan yang diisi dalam silinder gas. Bom berkenaan ditanam di bawah permukaan jalan dan diletupkan ketika pikap dipandu Dome melaluinya.

Suwit, guru besar Sekolah BPP, manakala anaknya juga seorang guru di sekolah berkenaan.
Kejadian itu menyusul selepas sehari selepas serangan bom motosikal di bandar Pattani yang menyebabkan sembilan anggota pasukan keselamatan, dan seorang rakyat Malaysia cedera.






Leave a Reply