SELATAN THAI: Hampir 1,000 penduduk, termasuk remaja dan pelajar di Daerah Chanae, Narathiwat, semalam (16 Disember 2024) mengadakan perhimpunan aman membantah keganasan yang dilakukan pihak tertentu, tatkala mereka sedang bergelut dengan masalah banjir besar yang melanda baru-baru ini.

Penduduk yang turut disertai pemimpin tempatan, termasuk pemimpin agama, aktivis masyarakat, imam dan ketua kampung, turut mengadakan solat hajat supaya mereka dapat hidup dalam aman.

Majlis yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Chanae turut disertai anggota Jawatankuasa Islam Wilayah Narathiwat, dan pemimpin masyarakat dari 44 masjid yang melibatkan 10 kampung, serta lebih 500 pelajar.

Solat hajat diadakan oleh penduduk Daerah Chanae, Narathiwat, memohon keamanan.

Perhimpunan itu juga bertujuan menunjukkan bantahan penduduk terhadap tindakan kumpulan tertentu yang menyerang sepasukan anggota tentera yang ditugaskan membantu mangsa banjir di daerah berkenaan.

Serangan itu menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh, manakala rakannya cedera. BERITA DI SINI

Beberapa kampung di daerah itu terkesan dengan banjir besar yang berlaku selama lima hari bermula 26 November lalu, sehingga banyak rumah dan kemudahan asas musnah.

Susulan itu, pihak tentera telah diarah turun ke kampung-kampung untuk membantu mangsa banjir yang majoritinya adalah penduduk Melayu Islam, namun ketika mereka melaksanakan tugas, mereka telah diserang kumpulan bersenjata.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan ketua-ketua agama dan pemimpin masyarakat kerana pihak tentera berusaha membantu mangsa banjir, sebalik mereka telah diserang dan dianiaya.

Pada perhimpunan itu, beberapa pemimpin mengajak rakyat menunjukkan kekuatan dengan bersatu menentang segala bentuk keganasan yang boleh menganggu kehidupan harian mereka.

Antara peserta perhimpunan yang mendesak supaya keganasan di Daerah Chanae, Narathiwat, dihentikan.

“Rakyat mahukan keamanan… tolak keganasan”. Demikian antara sepanduk yang turut dibawa bersama penduduk meminta supaya keganasan dihentikan bagi membolehkan mereka hidup dengan aman sebagaimana rakyat negara lain.

“Ini adalah isyarat bahawa rakyat dan sesiapa sahaja tidak bersetuju dengan penggunaan kekerasan dan keganasan. Kami menyeru supaya keamanan dikembalikan di kawasan ini.”

Seorang peserta perhimpunan, Supaporn Harikchan, berkata mereka berkumpul bagi menunjukkan bantahan terhadap keganasan yang berlaku baru-baru ini.

“Kami berhimpunan untuk menyatakan bantahan dan meminta supaya keganasan sedemikian tidak berulang lagi,” katanya yang menasihati penduduk yang cintakan keamanan supaya menentang segala bentuk keganasan.

Leave a Reply

Trending