SELATAN THAI: Seorang rakyat Malaysia adalah antara 10 yang cedera dalam satu serangan bom motosikal berhampiran balai polis di tengah bandar Pattani, pagi tadi (13 Januari 2025).

Rakyat Malaysia dikenali sebagai Erfan Ezzamie Bin Erwanizam dilaporkan mengalami cedera ringan akibat letupan kuat berhampiran bangunan TK Park di Jalan Pattani Phirom.

Erfan Ezzamie, 20, dari Kuala Lumpur ketika kejadian berada di dalam kereta yang diletakkan berhampiran balai polis kerana menunggu isterinya membuat laporan mengenai kehilangan dokumen.

Kesan letupan bom motosikal di tengah bandar Pattani, hari ini (13 Januari 2025).

Sembilan lagi yang cedera ialah anggota pasukan sukarelawan keselamatan wilayah (TDV) dan anggota polis. Mereka ialah:

  • TDV Boonlert Saengsuwan;
  • TDV Phanuwat Mairaksa;
  • TDV Banthoeng Nuanming;
  • TDV Matoped Waekunoh;
  • TDV Matoped Sa-ae;
  • TDV Soh Mama;
  • Sarjan Polis Thanthon Alamsa;
  • Sarjan Polis Sakchai Itasongkram; dan
  • Sarjan Polis Phongsakon Khuensuwan.

Semua mereka dihantar ke Hospital Pattani untuk rawatan lanjut.

Siasatan polis mendapati sebelum kejadian dua individu berpakaian seperti wanita muslim, berhijab dan memakai topi keledar bagi melindungi muka mereka, menaiki sebuah motosikal sebelum meletakkannya berhampiran bangunan TK Park kira-kira jam 7 pagi.

Kedua-duanya kemudian berjalan di kawasan Soi Pattani Rama sebelum dijemput oleh seorang lagi individu yang juga memakai pakaian wanita muslim.

Kira-kira jam 8.10 pagi, selepas polis dan sukarelawan pertahanan memasuki ke kawasan berhampiran untuk menjalankan tugas, seorang lagi pelaku dipercayai berkeliaran di tempat kejadian menggunakan alat kawalan jauh untuk meletupkan bom berkenaan.

Penjenayah berpakaian seperti wanita muslim menaiki sebuah motosikal untuk melakukan serangan bom di Bandar Pattani hari ini (13 Januari 2025).

Kekuatan letupan itu mencederakan 10 pegawai polis, sukarelawan pertahanan, dan orang awam. Ini adalah kali ketiga serangan bom motosikal di kawasan berkenaan.

Siasatan polis ditempat kejadian menemukan sisa motosikal yang digunakan penjenayah.

Pemeriksaan Unit Pelupusan Ordnans Letupan dan Sains Forensik (EOD) dan Unit Sains Forensik mendapati bom yang digunakan penjenayah itu adalah bahan letupan buatan sendiri.

Bom berkenaan diisi dalam kotak keluli dan diletakkan di bawah tempat duduk motosikal. Ia diletupkan menggunakan alat pemancar radio.

Dalam kejadian itu, tiga kereta, termasuk kereta milik Erfan Ezzamie, rosak terkena serpihan. Kekuatan letupan itu juga menyebabkan lima rumah kedai dan bangunan TK Park turut rosak.

Kejadian ini adalah serangan bom motosikal terbaharu dan pertama dalam tahun ini.

Angota forensik melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

Sebelum ini, dua serangan bom motosikal berlaku di Narathiwat (6 Mei 2024) di mana sembilan cedera termasuk dua rakyat Malaysia, dan di Daerah Yaring, Pattani pada 15 November tahun lalu (lima anggota polis cedera).

Sejak lebih 20 tahun lalu hingga hari ini, terdapat kira-kira 81 serangan bom motosikal di Selatan Thai.

One response to “Rakyat Malaysia antara yang cedera serangan bom motosikal di Pattani”

  1. […] Rakyat Malaysia antara yang cedera serangan bom motosikal di Pattani […]

Leave a Reply

Trending