
NARATHIWAT: Perbicaraan terhadap enam rakyat Malaysia, termasuk seorang penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu dikir barat dari Kelantan, akan disambung di Mahkamah Wilayah Narathiwat, hari ini (3 Januari 2025).
Pihak mahkamah telah mengeluarkan arahan baharu lewat petang semalam, supaya semua tertuduh dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk perbicaraan secara terbuka hari ini.
apakhabartv.com difahamkan, perbicaraan terhadap mereka bermula jam 9 pagi semalam (2 Januari 2025) di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Methpiya Metheelak, secara sidang video.
Bagaimanapun, tertuduh Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 29; Mohamad Alif Deraman, 32; Mohd Affendi Ahmad, 34; Nur Aida Mamat, 32; Erdieka Mohd Noor, 31; dan Zuhaira Nasrin, 25, mengaku tidak bersalah.
Mereka dituduh memiliki dan bersubahat dengan niat untuk mengedar methamphetamine, yang dianggap sebagai narkotik Kategori 1. Mereka juga dituduh mengunakan dadah berkenaan.
Akta Narkotik Thailand mentakrifkan istilah ‘narkotik’ sebagai ‘sebarang bentuk bahan kimia atau bahan yang, apabila dimakan sama ada dengan mengambil secara lisan, menyedut, merokok, menyuntik atau dengan apa cara sekalipun, menyebabkan kesan fisiologi atau mental’.
Bahan yang ditakrifkan sebagai narkotik dikelaskan kepada 5 kategori (akta itu juga menggunakan istilah ‘Kategori’ dan bukannya ‘Jadual’ seperti yang digunakan dalam Akta Bahan Psikotropik). Dadah yang termasuk dalam Akta Narkotik termasuk:
Kategori 1: Heroin; Amfetamin; Methamphetamine; MDMA (Ecstasy); LSD.
Kategori 2: Kokain; Codeine; Metadon; Morfin.
Kategori 5: Ganja; cendawan psikoaktif; dan ketum.
Di bawah peruntukan Akta Narkotik Thailand, hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:
Untuk dadah Kategori 1:
- Penjara sehingga seumur hidup dan denda antara 1 juta dan 5 juta baht jika didapati bersalah mengeluarkan, mengimport atau mengeksport;
- Penjara seumur hidup dan denda 100,000 hingga 5 juta baht, atau hukuman mati, (bergantung kepada jumlah dadah yang ditemui);
- Penjara sehingga 10 tahun atau denda 20,000 hingga 200,000 baht kerana memiliki. Bagaimanapun, jika kuantiti dadah atau narkotik yang ditemui melebihi had yang ditetapkan dalam akta, maka pemilikan untuk tujuan ‘pelupusan’ akan diputuskan. ‘Pelupusan’ ditakrifkan dalam akta itu membawa maksud ‘menjual, mengedar, memberi secara sembarangan, menukar atau menyerahkan; dan
- Penjara sehingga 3 tahun atau denda 10,000 hingga 60,000 baht jika digunakan (dimasukkan ke dalam tubuh).
Sumber-sumber memberitahu apakhabartv.com semua tertuduh akan dibawa dari Penjara Pusat Narathiwat ke mahkamah jam 8 pagi. Perbicaraan akan bermula pada jam 9 pagi waktu Thailand (10 pagi waktu Malaysia).
Difahamkan, perbicaran secara sidang video antara penjara dan mahkamah semalam dilakukan atas sebab keselamatan.
Ia susulan pergaduhan dalam kalangan banduan di Penjara Pusat Pattani pada Rabu (1 Januari 2025) yang mengakibatkan seorang maut dan 13 lagi cedera.
Untuk rekod, Wan Norshaheeda Azlin atau dikenali sebagai Eda Ezrin yang popular dengan lagi ‘bae soba bae’, suami dan rakan-rakan mereka ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Polis Daerah Sungai Golok di sebuah bilik hotel pada 1 November 2024.
Polis merampas 6,060 biji pil kuda atau yaba di dalam bilik hotel berkenaan, namun semuanya menafikan dadah itu milik mereka. Ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Dua daripada mereka, Nur Aida dan Zuhaira, juga berdepan tuduhan memasuki Thailand secara haram setelah didapati pasport mereka tidak dicop secara rasmi oleh imigresen kedua-dua negara.





Leave a Reply