SELATAN THAI: Seorang banduan terbunuh, manakala 13 lagi cedera, termasuk seorang parah, dalam satu pergaduhan selepas perlawanan persahabatan futsal di dalam Penjara Pusat Pattani, hari ini (1 Januari 2025).

Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada ejek mengejek dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan hingga menyebabkan pergaduhan kira-kira jam 8 pagi tadi.

Superitendan Balai Polis Bandar Pattani, Kolonel Polis Jeffrey Sailamanakul menerima aduan mengenai pergaduhan dalam kalangan banduan di penjara berkenaan yang terletak di Mukim Bana, Daerah Mueang, Pattani, sebelum mengetuai pasukannya untuk melakukan siasatan.

Pasukan keselamatan, termasuk polis mengawal keadaan di Penjara Pusat Pattani setelah berlaku pergaduhan yang menyebabkan seorang maut dan 13 lagi banduan cedera, hari ini (1 Januari 2025).

Ketika tiba di pejara itu, pihak polis mendapati lima ambulans sedang mengangkut mereka yang cedera untuk dihantar ke Hospital Pattani.

Terdapat seorang banduan yang meninggal dunia akibat tusukan senjata tajam di badannya, manakala 13 lagi cedera.

Kebanyakan yang cedera mengalami luka, termasuk di kepala dan badan mereka. Tempat kejadian adalah padang bola di dalam penjara. Pemeriksaan mendapati banduan berada di Zon 1.

Siasatan polis mendapati Penjara Pusat Pattani menganjurkan pertandingan futsal semalam (31 Disember 2024) – aktiviti untuk santai dan kesihatan yang sering diadakan di dalam penjara.

Bagaimanapun, dalam pertandingan pagi tadi berlaku kekecohan menyebabkan pemain dan penyokong saling ejek mengejek sehingga mencetuskan pergaduhan dengan menggunakan besi tajam.

Bagaimanapun, semua warden penjara berjaya menghentikan pergaduhan itu, sebelum menghubungi pihak hospital bagi membawa mereka yang cedera dan terbunuh.

Pihak polis sedang menyiasat untuk mencari semua pelaku sebelum mendakwa dan menambah pertuduhan asal yang membawa kepada penahanan mereka.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Wilayah Pattani, Chaiyaporn Niyomkaew berkata, pihak penjara menganjurkan acara sambutan Tahun Baharu 2025 dengan mengadakan pertandingan futsal untuk banduan.

Katanya, persaingan hari ini menimbulkan konflik, menyebabkan pergaduhan menggunakan senjata tajam.

“Keadaan penjara telah kembali aman… mereka yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau juga telah mengarahkan pengarah penjara berkenaan untuk menyiasat punca sebenar kejadian.

“Pihak penjara telah mengambil langkah yang ketat. Penjara juga sudah mempunyai langkah tegas terhadap penderaan fizikal antara banduan. Mereka juga diarah menangguhkan sebarang aktiviti selanjutnya buat masa ini,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading