
NARATHIWAT: Penyanyi wanita dikir barat asal Kelantan, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 29, berserta suami dan empat rakannya membuat keputusan melantik peguam yang disediakan mahkamah untuk mewakili mereka dalam kes dadah.
Wan Norshaheeda, lebih dikenali sebagai Eda Ezlin, membuat keputusan itu di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Methpiya Metheelak, hari ini (Jumaat, 3 Januari 2025).
Keputusan itu dibuat setelah mereka menolak tawaran dua peguam Thailand yang menawarkan bayaran 10 juta baht (kira-kira RM1.3 juta) untuk mewakili setiap seorang daripada mereka.
Terdahulu, pagi tadi semua tertuduh dibawa menaiki kenderaan dari Penjara Pusat Narathiwat ke mahkamah yang bersidang pada jam 9 pagi waktu Thailand (10 pagi waktu Malaysia).
Ketika di kamar mahkamah mereka ditanya oleh Hakim Methpiya sama ada akan melantik peguam sendiri atau menggunakan khidmat peguam yang disediakan oleh mahkamah.
Menerusi jurubahasa, mereka kemudian memberitahu bahawa akan menerima peguam yang dilantik oleh mahkamah.
Sebelum ini, selain Eda Ezrin, semua tertuduh, Mohamad Alif Deraman, 32; Mohd Affendi Ahmad, 34; Nur Aida Mamat, 32; Erdieka Mohd Noor, 31; dan Zuhaira Nasrin, 25, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Mereka dituduh memiliki dan bersubahat dengan niat untuk mengedar methamphetamine, yang dianggap sebagai narkotik Kategori 1. Mereka juga dituduh mengunakan dadah berkenaan.
Untuk rekod, Wan Norshaheeda Azlin atau dikenali sebagai Eda Ezrin yang popular dengan lagi ‘bae soba bae’, suami dan rakan-rakan mereka ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Polis Daerah Sungai Golok di sebuah bilik hotel pada 1 November 2024.
Polis merampas 6,060 biji pil kuda atau yaba di dalam bilik hotel berkenaan, namun semuanya menafikan dadah itu milik mereka. Ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Mahkamah Wilayah Narathiwat sebelum ini meluluskan permohonan reman 84 hari untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap mereka.
Eda Ezrin sebelum ini mendakwa pada November lalu, dua peguam Thailand menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kesnya dengan dikenakan bayaran 10 juta baht, tetapi keluarganya menolak tawaran itu.
“Saya dimaklumkan oleh keluarga dua peguam dari sini (Thailand) menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kes saya, tetapi setiap seorang meminta saya membayar 10 juta baht.
“Keluarga saya tidak mampu untuk membayar yuran itu dan menolak tawaran mereka dengan baik. Saya sedar ramai yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan saya, tetapi keluarga saya tidak mampu untuk membayarnya,” katanya.





Leave a Reply