NARATHIWAT: Beberapa serangan bersenjata, pengeboman, dan perbuatan khianat, hingga menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku semula di Selatan Thai, khususnya di ‘Deep South’ dengan kejadian terbaharu berlaku di Daerah Muaeng (bandar Narathiwat), malam tadi (21 Disember 2024).

Deep South merujuk kepada kawasan utama konflik bersenjata antara kumpulan pejuang yang menuntut kemerdekaan dengan pihak berkuasa Thailand, melibatkan Wilayah Yala, Narathiwat, Pattani, dan empat daerah di Songkhla (Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee).

Semua kejadian yang mencemaskan itu berlaku ketika usaha pemulihan sedang dilakukan oleh penduduk yang terlibat dengan banjir besar yang melanda Selatan Thai pada 26 November lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 6.37 petang (7.37 malam waktu Malaysia) di jalan utama dari Lapangan Terbang Narathiwat menuju ke bandar ini, empat anggota polis peronda sempadan cedera ringan apabila terkena serpihan bom paip yang dilempar ke sebuah pusat pemeriksaan di Ban Buerapet.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Polis 9342 melakukan kawalan di pusat pemeriksaan Buerapet di Mukim Khok Khian.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat lelaki yang menaiki dua motosikal melempar paip bom ke arah pusat pemeriksaan itu.

“Bom yang jatuh itu tidak meletup serta-merta… jadi anggota polis sempat melarikan diri. Bagaimanapun empat daripada mereka cedera terkena serpihan dan getaran apabila bom itu meletup.

“Anggota yang cedera ialah Sarjan Mejar Sakornrin Sitthisakon; Sarjan Mejar Phumi Bunthawi; Sarjan Mejar Khomphet Ngoipatphan; dan Sarjan Mejar Phongsaphan Krotphan.

“Mereka dihantar ke Hospital Rajanagarindra Narathiwat untuk rawatan lanjut. Pasukan pemusnah bom telah mengumpul bukti di tempat kejadian,” katanya kepada media.

Pada 21 November lalu, jalan berkenaan juga bergegar dengan empat letupan bom berturut-turut mencetuskan cemas penduduk sekitar bandar Narathiwat, dengan pihak berkuasa menyifatkan perbuatan itu bertujuan menimbulkan keadaan tidak tenteram.

Terdahulu beberapa serangan dan perbuatan khianat berlaku di Selatan Thai, termasuk serangan terhadap anggota tentera yang ditugaskan membantu mangsa banjir sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika sepasukan anggota tentera diarah mengangkut pelbagai peralatan bagi memperbaiki rumah penduduk yang rosak akibat banjir di Daerah Chanae, Narathiwat.

Sementara itu, beberapa perbuatan khianat membakar CCTV dan menara telekomunikasi dilaporkan berlaku di Daerah Mayo, Mae Lan dan Yarang di Wilayah Pattani, dua hari lalu.

Antara kawasan terlibat ialah:

  1. Di persimpangan Masjid Pulakasing, Kampung No 4, Mukim Kolam, Daerah Yarang;
  2. Di Sta Village Point, Kampung No 3, Mukim Ko Lam, Daerah Yarang;
  3. Berhampiran rumah Pengerusi Pertubuhan Pentadbiran Daerah Khlong Mai, Mukim Khlong Mai, Daerah Yarang;
  4. Jalan 410, Ban Preekee, Mukim Krado, Daerah Yarang;
  5. Membakar menara komunikasi di Soi Lubo Bala, Kampung Sorong, Mukim Khao Tum, Daerah Yarang;
  6. Merosakkan tiang telekomunikasi di Ban Muang Wan, Mukim Sakho Bon, Daerah Mayo; dan
  7. Membakar CCTV di Kampung Tam Nob, Muang Tia, Daerah Mae Lan, Wilayah Pattani.
Sarjan Matopho Ming maut ditembak di Bannang Sata, Yala, pada 19 Disember 2024.

Pada 19 Disember lalu, seorang anggota sukarelawan pertahanan kampung yang dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal setelah selesai bertugas, ditembak mati di Kampung Bajoe, Daerah Bannang Sata, Wilayah Yala.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam ketika Sarjan Matopho Ming, 50, menunggang motosikal berhampiran pangkalan pasukannya apabila kumpulan bersenjata melepaskan tembakan menggunakan M16 dan AK47.

One response to “[VIDEO] Pasca Banjir Selatan Thai bergolak semula”

  1. […] Sabtu (21 Disember) empat anggota BPP cedera apabila pos kawalan mereka dilempar bom paip oleh empat […]

Leave a Reply

Trending