
SELATAN THAI: Seorang anggota tentera Thailand yang ditugaskan membantu penduduk kampung yang terjejas dengan banjir besar di wilayah Narathiwat, terbunuh, manakala rakannya cedera, dalam satu serangan kumpulan bersenjata dua hari lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika sepasukan anggota tentera diarah mengangkut pelbagai peralatan bagi memperbaiki rumah penduduk yang rosak akibat banjir di Daerah Chanae, Narathiwat.
Ketika melalui sebuah jambatan antara Kampung Manang Kayang dan Kampung Pari di Mukim Chanae, anggota tentera terlibat diserang sekumpulan empat lelaki bersenjata M16.
Kumpulan bersenjata itu dikatakan melepaskan 12 das tembakan menyebabkan prebet Wutthichai Thai Pradit cedera parah di badan, manakala rakannya, prebet Chakkraphong Ritthirutkun, cedera dikaki.
Kedua-duanya dari Unit Operasi Khas Rejimen Renjer 4908, kemudian dihantar ke Hospital Yala untuk rawatan tetapi Wutthichai gagal diselamatkan. Chakkraphong pula dipindahkan untuk rawatan lanjut di Hospital Songkhlanagarind, Hat Yai.
Walaupun, tidak pasti kumpulan bersenjata mana yang melakukan serangan itu, namun pihak tentera mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan pemberontak.
Pihak berkuasa Thailand juga kesal dengan serangan itu kerana ketika kejadian, anggota tentera sedang ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di wilayah Narathiwat.
Siasatan awal mendapati, lapan anggota tentera ditugaskan untuk mengangkut pasir di sungai berdekatan untuk digunakan bagi membantu memperbaiki rumah mangsa banjir di Daerah Chanae.
“Ketika anggota tentera sedang memasukkan pasir ke dalam beg, empat penyerang menaiki dua motosikal melalui jambatan itu sambil memperlahankan kenderaan.
“Dua daripada penyerang kemudian melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah anggota tenera terbabit, yang mengenai Wutthichai dan Chakkraphong,” kata sumber tentera.
Dalam banjir lima hari yang melanda wilayah Narathiwat bermula 26 November lalu, ribuan rumah, jalan dan kemudahan awam rosak. Kerajaan Thai turut mengerahkan anggota tentera membantu mangsa banjir terbabit.






Leave a Reply