
NARATHIWAT: Situasi di wilayah Selatan Thai, khususnya di kawasan yang dikenali sebagai ‘Deep South’, terus bergolak dengan beberapa kejadian keganasan berlaku membabitkan kematian dan kecederaan.
Serangan dan pengeboman oleh kumpulan bersenjata di Wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat, serta empat daerah di Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee, menjadi-jadi menjelang akhir tahun.
Dari sudut keselamatan, kejadian yang berlaku di ‘Deep South‘ sekarang ini adalah ‘musim keganasan’ iaitu antara Disember hingga April setiap tahun.

Malah, dalam tempoh semalam dan hari ini (23 dan 24 Disember) enam anggota pasukan keselamatan Thailand cedera dalam serangan bom, dua orang awam ditembak mati, manakala seorang lagi cedera.
Terbaharu kira-kira jam 9.30 pagi tadi, sepasukan anggota renjer yang sedang melakukan rondaan di Kampung Ban Air Kasae diserang kumpulan bersenjata menyebabkan tiga daripadanya cedera.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika lapan anggota unit taktikal 4906 Rejimen Renjer melakukan rondaan di Jalan Si Sakhon-Chanae dengan berjalan kaki.
Apabila tiba di tempat kejadian, sebutir bom yang ditanam di atas jalan meletup. Serentak itu, kumpulan bersenjata yang bersembunyi di hutan berhampiran terus melepaskan tembakan.
Seorang anggota kumpulan bersenjata telah menghidupkan fius bom menyebabkan letupan kuat. Kuasa letupan itu mencederakan tiga anggota renjer. Tembak menembak berlaku kira-kira lima minit sebelum kumpulan bersenjata itu melarikan diri.
Siasatan mendapati kumpulan bersenjata menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan di dalam silinder gas seberat lima kilogram dan bateri sebagai peledak.
Tiga anggota renjer yang cedera ialah:
- Sarjan Mejar Amphon Kongmuang, 33;
- Prebet Leechan Useng, 28; dan
- Prebet Amphan Chaowasum, 33.
Pada hari sama, polis di Daerah Panare di Wilayah Pattani menerima laporan daripada anggota Kor Pertahanan Sukarelawan (VDV) yang menemukan alat letupan buatan sendiri di sebuah kilang terbiar.
Menurut polis, anggota VDV ketika itu sedang melakukan rondaan di Mukim Ban Nam Bo, Panare sebelum menjumpai bahan letupan itu.
Terdahulu, pada jam 7.45 pagi tadi Balai Polis Bandar Narathiwat menerima laporan serangan bom terhadap pegawai Polis Peronda Sempadan (BPP) yang sedang melakukan rondaan dan menjaga keselamatan guru di tepi jalan antara Kampung Ban Talo Naeng Aman dan Kampung Ban Khwan Mai Ngam, Mukim Bang Po, Daerah Mueang.
Siasatan pihak berkuasa mendapati enam anggota Unit Gerakan Khas BPP sedang menjalankan rondaan dan menjaga keselamatan di sepanjang laluan tersebut.
Mereka menggunakan sebuah kereta perisai V-Cross dan sebuah motosikal sebagai kenderaan. Ketika kereta itu dipandu melalui laluan antara dua kampung tersebut, terdengar bunyi letupan kuat di tepi jalan.
Kuasa bom itu merosakkan permukaan jalan, tetapi tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera.
Pada Sabtu (21 Disember) empat anggota BPP cedera apabila pos kawalan mereka dilempar bom paip oleh empat individu yang menaiki dua motosikal.
Semalam, tiga anggota kor pertahanan sukarela Daerah Sungai Padi, Narathiwat, cedera akibat letupan bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika tiga anggota terbabit Jaren Nilwat, 50; Mahamat Haji Sa, 48; dan Prasit Promcham, 44, sedang melakukan rondaan menjaga keselamatan suru di Sekolah Kampung Ban Phlong di Mukim To Deng.
Ketika melakukan rondaan itu, sebutir bom yang ditanam di tepi jalan meletup dan mencederakan ketiga-tiga mereka.

Dalam satu lagi kejadian, polis Daerah Rueso, Narathiwat dimaklumkan bahawa sebutir bom telah dilempar ke arah rumah bekas seorang guru di Kampung Ban Sue Lo, Mukim Riang, kira-kira jam 3 pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika Kariya Salae sedang berehat di rumahnya apabila sekumpulan individu melempar bom buatan sendiri ke arah rumahnya.
Kuasa letupan itu mencederakan bahagian kakinya dan dia dihantar ke Hospital Rueso untuk rawatan. Polis masih menyiasat sama ada kejadian berpunca daripada konflik peribadi atau cubaan untuk menimbulkan kekacauan.
Sementara itu, polis Daerah Kapho, Pattani, menerima laporan penemuan mayat seorang pemuda yang ditembak mati di Kampung Ban Khayee, Mukim Talo Dueraman, kira-kira jam 2.15 pagi.
Di tempat kejadian polis menemukan sebuah motosikal dan mayat Natthapong Monlasin, 27 tahun. Punca kejadian masih dalam siasatan.
Pada hari sama, polis juga menerima laporan kejadian tembakan yang menyebabkan kematian seorang anggota sukarelawan pertahanan di sebuah kedai membaiki kereta di Kampung Ban Po Ya Ni, Mukim Sateng Nok, Daerah Yala.
Hasil siasatan polis mengesahkan mangsa adalah Abdulleh Sameang, 58, anggota pasukan pertahanan awam yang tinggal di Sateng Nok. Mangsa dipercayai ditembak di bahagian kepala.






Leave a Reply