
SATUN (Selatan Thai): Seorang anggota tentera Thailand berpangkat biasa yang terbunuh dalam serangan bom kereta di Tak Bai, Narathiwat, baru-baru ini mendapat penghormatan diraja apabila pengebumiannya dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan.
Istiadat meletakkan kalungan bunga daripada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan kerabat diraja di hadapan keranda Prebet Kelas Pertama Anuwat Hemarat diadakan pada istiadat pengebumian jenazahnya di Masjid Ban Tha Malai, Daerah Langu, di sini, pada 12 Oktober lalu.
Penyerahan kalungan bunga daripada Raja Thailand dan kerabat diraja adalah penghormatan tertinggi kepada individu yang berjasa kepada negara.

Istiadat itu diketuai sendiri oleh Gabenor Wilayah Satun, Sakra Kapilkan. Pengarah Bahagian Promosi dan Sokongan Pembangunan Keselamatan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Thirawit Thiankharoj, serta pegawai kanan kerajaan, pemimpin agama dan penduduk turut hadir.
Pada majlis itu juga, SBPAC turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Anuwat.
SBPAC memberikan bantuan kewangan sekiranya berlaku kematian sebanyak 500,000 baht kepada tiga waris iaitu ibu, isteri dan anak, yang dibahagikan sama rata, serta seguni beras.

Selain itu, keluarga berkenaan juga akan menerima bantuan lain mengikut kriteria yang ditetapkan.
Jenazah Prebet Anuwat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ban Talo Sai di Mukim Pak Nam, Langu.
Dalam kejadian pada jam 10 malam 29 September lalu, Anuwat bersama seorang rakan yang tidak bertugas ketika itu sedang berjalan berhampiran rumah Pegawai Daerah Tak Bai, Narathiwat, ketika bom kereta diletupkan.
Letupan kuat itu menyebabkan badan Anwat terbakar dan tangan kanannya pula patah.
Dia dimasukkan ke Hospital Songkhlanagarind di Hat Yai pada 30 September, tetapi meninggal dunia pada jam 2.30 petang 11 Oktober lalu.

Sementara itu semalam (16 Oktober), Thirawit dan kakitangan SBPAC turut melawat dua anggota polis yang cedera dalam serangan bom di Daerah Raman, Yala. Kedua-duanya dirawat di Hospital Yala Sirirattanarak, Yala.
Dalam kejadian di jalan luar bandar di Ban Talanae, Mukim Wang Phaya, Raman, 14 Oktober lalu, sebutir bom diletupkan ketika pikap polis melalui jalan itu.
Letupan menyebabka dua anggota polis, Sarjan Mejar Apiwat Thongkuea, 34 tahun, dan Sarjan Mejar Suriya Samsawat, 37, cedera.







Leave a Reply