
NARATHIWAT (Selatan Thai): Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta rakyat Malaysia yang bercadang bercuti ke Selatan Thai sempena sambutan Deepavali 31 Oktober depan, supaya lebih berhati-hati.
Ini susulan keadaan di wilayah konflik itu semakin membimbangkan dengan tujuh serangan terbaharu terhadap pasukan keselamatan Thailand, pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Apa lagi hari ini, satu lagi serangan bom terhadap kenderaan polis di Selatan Thai berlaku di wilayah Yala, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam serangan di tiga wilayah ‘Deep South’ dalam tempoh tidak sampai 24 jam itu, seorang anggota pasukan keselamatan Thailand dan seorang orang awam, terbunuh.
‘Deep South’ dirujuk sebagai ‘kawasan panas’ yang meliputi Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di wilayah Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.
Apa Khabar TV pada 11 Oktober lalu melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kejadian serangan terhadap pasukan keselamatan, harta benda awam, samun senjata api dan pengeboman berlaku di tiga wilayah ‘Deep South’ di Selatan Thai, dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Memetik laporan media Malaysia hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, meminta mereka yang hendak bercuti di Selatan Thai supaya lebih berhati-hati susulan serangan itu.
Menurutnya, rakyat Malaysia juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini di negara berkenaan terutama di wilayah selatan yang bersempadan.
“Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan pergi ke wilayah Selatan Thai sempena cuti Deepavali yang akan datang.
“Selain meminta mereka lebih berhati-hati… saya juga ingin menasihatkan pelancong Malaysia supaya, jika boleh, mengelakkan kawasan yang menjadi sasaran pihak yang terbabit dalam serangan,” katanya.

Untuk rekod terdapat 14 wilayah yang dikategorikan sebagai Selatan Thai ialah Chumphon; Nakhon Si Thammarat; Narathiwat; Pattani; Phatthalung; Songkhla; Surat Thani; Yala; Krabi; Phang Nga; Phuket; Ranong; Satun; dan Trang.
Namun, wilayah konflik dan sering berlaku serangan terhadap pasukan keselamatan hanya melibatkan Pattani, Narathiwat dan Yala, serta empat daerah di Songkhla. Serangan sedemikian jarang berlaku di wilayah-wilayah lain.
Razarudin juga meminta rakyat Malaysia supaya mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat terkini sebelum merancang bercuti ke Thailand.
Sebelum ini, wilayah Selatan Thai, khususnya Hat Yai yang terletak dalam wilayah Songkhla menjadi tumpuan pelancong Malaysia, terutama ketika cuti umum.
Dalam perkembangan terbaharu, keadaan di Deep South kekal tegang apabila satu serangan bom dilancarkan terhadap polis yang melakukan rondaan di Daerah Raman, Yala, hari ini (14 Oktober).
Kejadian berlaku pada jam 9.38 pagi ketika sebuah pikap polis melalui Jalan Ban Kok Ke, Raman di Mukim Wang Phaya. Tidak diketahui berapa jumlah anggota polis yang berada dalam pikap berkenaan.
Ketika melalui jalan itu, sebutir bom diletupkan menyebabkan pikap polis dari Balai Polis Tha Thong mengalami kerosakan. Tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul meminta anggota pasukan keselamatan, mengambil langkah berjaga-jaga.
“Terdapat situasi, khususnya di Yala… saya mengikuti perkembangan di wilayah ini dan saya ingin meminta semua orang bersedia sepenuhnya.
“Misi kita adalah untuk mewujudkan keselamatan demi rakyat. Jika bukan kerana anda, orang ramai tidak akan dapat tidur. Tetapi setiap orang mesti menjaga diri mereka sendiri.
“Saya berharap anda semua selamat daripada bahaya dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan pengorbanan anda untuk negara dan rakyat Thailand,” katanya ketika melawat kawasan Pusat Pemeriksaan Tha Sap, Yala, Sabtu lalu.
Pusat pemeriksaan itu sebelum ini diserang oleh sekumpulan individu tidak dikenali denga melempar bom paip.






Leave a Reply